Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Buaian terbang




POKOK SENA - Hanya beberapa minit sahaja nyawa seorang kanak-kanak berusia tiga tahun hampir melayang, apabila buaian tempat tidurnya diterbangkan angin dan tersangkut di dahan pokok langsat setinggi 10 meter semasa kejadian ribut di Kampung Kolam kira-kira jam 5.30 petang, Isnin lalu.

Safawati Ahmad Nasri ketika itu baru sahaja turun dari buaian kerana tidak mahu tidur dan pada waktu itu angin di luar rumah bertiup kencang dan menerbangkan bumbung sejauh kira-kira lebih 10 meter.

Bapanya, Ahmad Nasri Md Arof, 40, berkata, dia bersyukur kerana tidak berlaku kejadian buruk ke atas ahli keluarganya. Paling penting anak bongsunya yang pada setiap hari akan tidur di dalam buaian dan kebetulan pada hari kejadian dia tidak mahu tidur dalam buaian.

Menurutnya, dia menyedari keadaan awan yang gelap dan angin bertiup kencang sebelum menasihatkan ahli keluarga yang lain termasuk tujuh anaknya untuk masuk ke dalam rumah.

“Semasa berada dalam rumah, kejadian berlaku pantas dan menerbangkan bumbung rumah lebih 10 meter dan turut menerbangkan buaian tempat anak bongsu saya, Safawati tidur setiap hari.

“Saya bersyukur, kerana petang hari kejadian tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap Safawati dan buaian tempatnya tidur diterbangkan dan tersangkut di dahan pokok langsat setinggi 10 meter,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Nasri berkata, rumahnya yang baru sahaja diduduki lima tahun lalu, hampir keseluruhan bumbung rumah itu tercabut dan dia berusaha menutup bumbung berkenaan dengan kain kanvas buat sementara waktu.

“Dari pemerhatian penduduk dan saya sendiri, saya menganggar lebih RM7,000 diperlukan untuk membaiki kembali bumbung rumah yang rosak,” katanya.



Pokok keranji 3 abad hempap motor, kereta

Sementara itu, di Tualang, pemilik kedai makan, Zainudin Ali, 45, berkata, dia kerugian RM10,000 apabila kedai makan miliknya ranap dihempap pokok dalam kejadian ribut itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang memasak tempahan makanan untuk pelanggan sebelum melihat satu pusaran angin yang kuat menyebabkan pelanggan di kedainya lari bertempiaran.

“Ranting-ranting kayu jatuh ke atas bumbung kedai seperti hujan sebelum saya menjerit suruh mereka lari apabila nampak ada pusaran angin kedua yang terlalu kuat sehingga menumbangkan sebatang pokok keranji yang berusia kira-kira 300 tahun dan menghempap kedai makan saya.

“Tidak ada apa yang dapat diselamatkan kerana kejadian berlaku dengan pantas,” katanya.

Zainuddin berkata, kira-kira lima motosikal dan sebuah kereta rosak apabila ditimpa pokok yang berkenaan.



Tiang konkrit anjung rumah ranap 

Di Kampung Kuang Buang, Nawa, tiga sekeluarga terkejut apabila mendapati tiga tiang konkrit anjung rumah mereka patah dan tumbang direntap oleh pusaran angin dan menyebabkan bumbung anjung ranap teruk.

Ismail Daii, 30 berkata, pusaran angin yang bertiup kencang berlaku kira-kira lima minit menyebabkan dia dan ibu bapanya terpaksa berlindung dalam rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pertama kali itu turut merosakkan sebahagian bumbung rumahnya dan menganggar kerugian lebih dari RM7,000.

“Semasa kejadian, saya dan ibu bapa berlindung di dalam rumah sebelum terdengar anjung rumah seolah-olah direntap dua kali dan sekali gus menyebabkan tiang konkrit patah dan bumbungnya rosak teruk,” katanya.

Turut hadir menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut, Pegawai Khas Pejabat Penyelaras Parlimen Pokok Sena, Syafirol Ahmad dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Noran Zamani Jamaluddin.

No comments:

Post a Comment