Search This Blog

Friday, October 15, 2010

'Bom Filipina' musnah terumbu


Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/10/15

Banyak khazanah laut terutama batu karang di perairan Pulau Sari mati 

MIRI: Sejenis bahan letupan dikenali sebagai 'Bom Filipina' yang digunakan untuk menangkap ikan dikatakan punca kebanyakan terumbu karang di khazanah laut di kawasan perairan Pulau Sari dekat Lawas, mati.Difahamkan batu karang jenis lembut dan keras yang menjadi tempat pembiakan ikan, sebelum ini banyak terdapat di kawasan berhampiran pantai terbabit mati akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.Seorang penyelam, Vincent Gungang, 32, yang sempat merakamkan gambar mengenai kemusnahan terumbu karang yang berlaku akibat ‘Bom Filipina’ itu berkata, hampir semua kawasan terumbu karang di perairan itu dibom. 

Beliau berkata, kebanyakan batu karang yang di kawasan Pulau Sari, Kuala Punang, dan sekitarnya juga musnah akibat perbuatan itu. 

“Batu karang yang sudah musnah memerlukan jangka masa yang lama untuk kembali pulih. 

“Sekarang tempat pembaikan ikan yang terdapat di kawasan berkenaan sudah banyak musnah dibom. Hanya beberapa kawasan saja yang belum diusik dan perlu dilindungi,” katanya kepada Berita Harian. 
Beliau mendakwa kedalaman air di kawasan yang musnah itu ialah sekitar lima hingga sepuluh meter. 

Kebanyakan batu karang yang mati bertukar warna daripada putih kepada warna kehitaman. 

“Banyak kawasan pembaikan ikan di perairan berkenaan sudah lenyap,” katanya selain mendakwa landak laut turut menjadi ancaman baru kemusnahan batu karang di kawasan itu. 

Beliau berkata, ratusan ekor landak laut boleh dijumpai jika kita menyelam di kawasan batu karang berkenaan. 

“Landak laut ini memakan batu karang dan memusnahkan hidupan laut yang terdapat di kawasan berkenaan. Ini adalah satu daripada ancaman baru yang berlaku kepada terumbu karang di kawasan Lawas,” katanya. 

Sementara itu, nelayan tempatan mendakwa perbuatan mengebom ikan berkenaan dipercayai dilakukan nelayan asing, yang datang dari Labuan. 

“Mereka menggunakan bot laju berkembar di kawasan antara Lawas dan Labuan. Mereka bom ikan dengan pantas dan selepas mengutipnya mereka akan memecut bot dengan laju balik ke pulau bebas cukai berkenaan,” katanya yang enggan namanya disiarkan. 

Nelayan itu berkata, perbuatan mengebom ikan berkenaan tidak semestinya dilakukan oleh orang asing tetapi rakyat tempatan sendiri. 

“Cuma kaedah mengebom ikan yang digunakan berkenaan ditiru daripada nelayan Filipina. Sebab itu ia dikenali sebagai ‘Bom Filipina’,” katanya. 

Beliau berkata, di kawasan perairan Labuan sendiri kebanyakan kawasan batu karangnya sudah pun musnah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan. 

No comments:

Post a Comment