Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Bekas polis bunuh budak, pengasuh kena gantung


BEKAS konstabel polis, Mohd Nahar Abu Bakar (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh   Siti Rohana Baharom dan Muhammad Nurosama Sohimi, 2 tahun, di Flet Bandar Baru Klang, 7 tahun lalu.   Nurosama dijumpai mati dengan kesan tikaman di belakang tengkok manakala terdapat kesan tikaman yang dalam ke atas dada Siti Rohana.Foto Effendy Rashid (04/10/10)


2010/10/06

Muhammad Nurosama (kiri) dan Siti Rohana  Baharom.
Muhammad Nurosama (kiri) dan Siti Rohana Baharom.
Mohd Nahar tak beri reaksi ketika hakim jatuhkan hukuman

SHAH ALAM: Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel, Mohd Nahar Abu Bakar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh anak bekas Setiausaha Umno Bahagian Klang dan pengasuhnya, tujuh tahun lalu.
Hakim Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Mohd Nahar, 34, yang berdiri di dalam kandang tertuduh dengan memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar jeans tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hakim membacakan keputusannya.

Tertuduh yang pernah bertugas di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak pada 1997, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, berusia dua tahun setengah, di rumah pengasuhnya di No 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang, kira-kira jam 1 tengah hari, 30 Disember 2003.

Lelaki itu yang ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu, juga didakwa membunuh pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Seramai 17 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mohd Nahar yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohd Tanusi pernah dikenakan tindakan buang kerja pada 21 Mei 1999 kerana terbabit dalam kes pecah rumah di Manjung dan dipenjarakan selama enam bulan di Penjara Kajang pada 2000.

Sejurus prosiding mahkamah berakhir, bapa Allahyarham Muhammad Nurosama, Shohimi Shafie yang berada di galeri awam mengalirkan air mata sambil memeluk Mohd Nordin, isterinya Hamidah Harun dan anggota keluarga lain yang turut hadir di mahkamah.

Dalam reaksinya selepas itu, Shohimi, 41, berkata beliau reda atas kematian anaknya dan bersyukur mahkamah menjatuhkan hukuman yang sepatutnya diterima oleh tertuduh.

"Alhamdulillah selepas menunggu enam tahun akhirnya penjenayah yang bunuh dua nyawa termasuk anak saya yang masih kecil menerima hukuman yang sepatutnya. Anak saya baru berusia dua tahun (semasa kejadian)," katanya sebak.

Shohimi yang kini Pegawai Khas (Hal Ehwal Agama) kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Motor Trading Sdn Bhd turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan serta pihak polis yang berjaya menjejaki dan menangkap tertuduh walaupun enam tahun selepas kejadian.

Hamidah, 40, yang berdiri di samping suaminya turut bersyukur atas keputusan mahkamah.

Pasangan suami isteri itu mempunyai empat orang anak dan Muhammad Nurosama anak ketiga mereka.

Abang Siti Rohana, Abdul Wahab Shafie, 47, berkata keluarganya bersyukur kerana selepas enam tahun menunggu akhirnya kes itu selesai. – Bernama

No comments:

Post a Comment