Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Bekas konstabel dihukum mati





Shohimi Shafie (tengah) ditemani isteri, Hamidah Harun (kanan) hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan kes pembunuhan anak dan pengasuhnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 5 Okt. - Seorang bekas konstabel polis dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh anak lelaki bekas Setiausaha UMNO Bahagian Klang, Shohimi Shafie dan pengasuhnya, tujuh tahun lalu.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Nahar Abu Bakar, 34, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan semasa memberi keterangan membela diri.
Mohd. Nahar didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi yang berusia dua setengah tahun di rumah pengasuhnya di No. 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang dekat sini.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003, Mohd. Nahar juga didakwa membunuh pengasuh kanak-kanak tersebut, Siti Rohana Baharom, 34.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, seramai 17 saksi pendakwa dipanggil memberi keterangan sementara tertuduh yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohd. Tanusi adalah saksi tunggal pihak pembelaan.
Sementara itu, Hakim Mohd. Yazid semasa membacakan penghakiman ringkasnya berpuas hati bahawa tertuduh adalah orang yang masuk ke dalam flat mangsa dan kembali ke dalam kereta pada hari kejadian.
Katanya, tertuduh juga mengarahkan teman wanitanya yang juga saksi pendakwa ke-13, Normah Jantan untuk menghidupkan enjin kereta sebelum mengambil sebilah pisau Rambo dari dalam but lalu naik semula ke rumah mangsa.
Menurut beliau, keterangan Mohd. Nahar juga tidak mendatangkan sebarang keraguan munasabah terhadap keterangan saksi pendakwa kerana salah seorang daripada mereka melihat tertuduh menikam mangsa dan melarikan diri sebelum dikejar.
''Saya berpuas hati bahawa pisau Rambo itu milik tertuduh dan di dalam flat Siti Rohana, tertuduh adalah orang yang menikam kedua-dua mangsa.
''Semasa tertuduh menikam mangsa-mangsa, dia ada niat untuk membunuh berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa adalah serius serta kesan tikaman yang dalam,'' katanya.
Tertuduh yang pernah berkhidmat di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak pada 1997 serta dikenakan tindakan buang kerja pada 21 Mei 1999 dan dipenjara selama enam bulan kerana terlibat dalam kes pecah rumah kelihatan tenang menerima hukuman.
Sementara bapa kepada Allahyarham Muhammad Nurosama, Shohimi, 41, serta isteri, Hamidah Harun, 41, dan beberapa ahli keluarga yang hadir menangis sebaik sahaja mendengar hukuman tersebut.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Shohimi berkata: ''Alhamdulillah, selepas menunggu enam tahun akhirnya penjenayah yang membunuh dua nyawa termasuk anak saya yang masih kecil telah menerima hukuman yang sepatutnya. Anak saya baru berusia dua tahun,'' katanya sambil menangis.
Ketika Mohd. Nahar dibawa keluar dari bilik bicara, Shohimi yang tidak dapat menahan kemarahan telah menumbuk dada lelaki itu secara spontan sambil menjerit: 'Kurang ajar'.

No comments:

Post a Comment