Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

AS siasat bungkusan kargo Yaman





2010/10/31

GAMBAR dikeluarkan polis Dubai menunjukkan beberapa bahagian dalam komputer dipenuhi bahan letupan.
GAMBAR dikeluarkan polis Dubai menunjukkan beberapa bahagian dalam komputer dipenuhi bahan letupan.
WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memeriksa kebanyakan pesawat yang membawa barang dari Yaman semalam selepas Presiden Barack Obama mendedahkan dua bungkusan dari negara Arab berkenaan yang dihantar melalui kargo udara dikesan mengandungi bahan letupan. 

Bungkusan terbabit yang dihantar kepada kuil Yahudi di Chicago dikesan malam kelmarin dalam dua pesawat kargo menuju ke AS - satu yang sedang singgah di Dubai dan satu lagi di lapangan terbang East Midlands di Britain.
Insiden berkenaan mencetuskan amaran serangan pengganas di peringkat antarabangsa. Rumah Putih berkata pihaknya dimaklumkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung ancaman bom itu dan berterima kasih terhadap bantuan berkenaan.
Obama memberi arahan segera agar pesawat kargo di lapangan terbang antarabangsa Philadelphia dan Newark dipindah ke tempat terpencil untuk diperiksa kerana disyaki membawa bungkusan dari Yaman yang mengandungi bahan letupan. 

Dalam perkembangan lain sebuah pesawat Emirates diiringi untuk mendarat di New York oleh pesawat pejuang AS dan Kanada kerana disyaki membawa bungkusan dari Yaman. Pihak Berkuasa Emiriah Arab Bersatu kemudian menafikan pesawatnya itu membawa barang dari Yaman. 

Sementara itu di DUBAI, polis tempatan berkata bom yang dikesan dalam satu bungkusan dari Yaman yang menuju ke AS itu mengandungi bahan letupan PETN yang sering digunakan oleh al-Qaeda. 

Polis Dubai dalam satu kenyataan melalui agensi berita rasmi WAM, berkata bahan letupan itu ditemui dalam katrij dakwat pencetak komputer. Bungkusan itu dihantar dari Yaman melalui penghantaran FedEx. 

Di LONDON, pihak berkuasa Britain menyiasat sama ada bungkusan dari Yaman mengandungi bahan letupan ditemui dalam sebuah jet kargo menuju ke AS adalah sejenis bom hidup, kata Setiausaha Dalam Negeri, Theresa May semalam. – AFP

No comments:

Post a Comment