Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Ancaman ribut

sumber
Oleh Safuri Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
2010/10/15

Bencana di beberapa kampung di Baling akibatkan kerosakan rumah, kenderaan 

BALING: Lebih 60 rumah di beberapa kampung di sini mengalami kerosakan, kebanyakannya di bahagian bumbung dalam kejadian ribut yang disusuli hujan lebat tengah hari kelmarin.Antara kampung yang terbabit dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, termasuk Kampung Haji Abas, Kampung Bawah Gunung, Kampung Asam Jawa, Kampung Pokok Sena, Kampung Pulai dan Kampung Bongor serta sekitar pekan ini.Selain itu, turut mengalami kerosakan ialah sebahagian bumbung Stesen Teksi Baling di sini, yang tercabut diterbangkan angin menyebabkan ia menimpa lima kenderaan, termasuk masing-masing dua teksi dan dua kereta persendirian dan satu motosikal yang diletakkan di situ. 

Seorang pemandu teksi, Yusuf Ramli, 55, berkata ketika kejadian dia sedang duduk berbual bersama rakannya tidak jauh dari stesen teksi berkenaan apabila tiba-tiba angin bertiup kencang. 

“Apabila mendapati angin semakin kuat dan ia membentuk satu pusaran saya melaungkan azan dan tidak lama selepas itu saya terdengar bunyi dentuman kuat yang berpunca daripada sebahagian bumbung stesen teksi di sini tercabut dan menimpa kenderaan yang diletakkan di situ. 

“Nasib baik tiada orang ramai yang cedera dalam kejadian itu kerana semua sempat berlindung,” katanya ketika ditemui di sini. 
Yusuf berkata, ketika itu dia juga ternampak beberapa keping bumbung rumah kedai yang terletak berhampiran stesen teksi itu diterbangkan angin kencang sejauh kira-kira 100 meter. 

Rakannya, Mohd Zakri Shamsudin, 43, berkata, ketika kejadian dia baru saja meletakkan teksinya di stesen berkenaan dan beredar ke restoran berhampiran untuk makan tengah hari. 

“Bumbung stesen teksi yang jatuh itu menimpa teksi saya yang diletakkan di situ menyebabkan sedikit kerosakan. 

“Namun, saya bersyukur kerana ketika bumbung itu jatuh saya sudah beredar dari situ, jika tidak mungkin akan mengakibatkan kecederaan,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, anggota pasukan itu dengan bantuan pelbagai agensi lain, termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majlis Daerah Baling (MDB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dikerah membantu penduduk yang terjejas dalam kejadian itu. 

Katanya, JKM juga sedang membuat penilaian mengenai tahap kerosakan harta benda penduduk terbabit dan setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. 

No comments:

Post a Comment