Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Anak sulung maut dipercayai kecuaian pengasuh


PUTRAJAYA 14 Okt. - Sepasang suami isteri yang baru lima bulan dikurniakan cahaya mata terpaksa menerima hakikat kematian anak sulung mereka dipercayai akibat kecuaian pengasuh.
Norzulaihan Mustapha, 25, dan suaminya Faizal Hafiz Hamzah, 24, tidak menyangka kejadian yang tidak diingini itu berlaku ke atas anak lelaki mereka, Muhammad Firdaus Hakim Faizal Hafiz.
Pasangan itu reda apabila anaknya disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi ini setelah usaha menyelamatkannya gagal selepas dimasukkan ke Hospital Putrajaya sejak Selasa lepas.
"Ketika mendapat panggilan pengasuh semasa menikmati makan tengah hari, Selasa lepas, saya terkejut apabila diberitahu anak saya dalam keadaan lemah.
"Tanpa membuang masa, saya terus menghubungi suami untuk memaklumkan perkara itu dan dia terus bergegas ke rumah pengasuh untuk membawa anak segera ke Pusat Kecemasan, Hospital Putrajaya," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Putrajaya di sini, hari ini.
Beberapa kejadian sebelum ini membabitkan kematian bayi akibat kecuaian pengasuh turut dilaporkan berlaku di sini.
Antara mangsanya ialah Nur Amiera Mohd. Shahrul Niezam, sembilan bulan dan Farisha Nur Hazreen Fairuz Mohammad, tiga bulan masing-masing pada 20 dan 21 September lalu.
Norzulaihan memberitahu, ketika suaminya tiba di rumah pengasuh tersebut, anaknya didapati sudah lemah dan warna kulitnya juga sudah bertukar kebiru-biruan serta terdapat darah mengalir keluar dari hidungnya.
"Setibanya di Pusat Kecemasan, doktor sedaya upaya memberi bantuan pernafasan kepada anak saya dalam usaha memastikan denyutan jantung tidak berhenti walaupun badannya sejuk.
"Denyutan nadinya bagaimanapun semakin lemah ketika bantuan terus diberikan. Pada pukul 9.30 pagi ini, anak saya disahkan meninggal dunia," katanya.
Norzulaihan yang juga kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) percaya, nyawa anak sulungnya itu dapat diselamatkan sekiranya pengasuh berkenaan mengambil tindakan segera menghubungi ambulans.
Ditanya tindakan yang akan diambil ke atas pengasuh terbabit, dia berkata, pihaknya meneliti hasil siasatan jika wujud unsur kecuaian.
"Hati ibu mana tidak sedih apabila kehilangan anak tersayang, bagaimanapun saya reda dengan pemergiannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid mengesahkan menerima laporan yang dibuat semalam berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, berdasarkan keterangan yang diberi, bayi malang itu dikatakan terjatuh dan terdapat sedikit kecederaan pada kepalanya.

No comments:

Post a Comment