Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Adik hampir kena tembak



BAKAR ARANG - “Adik saya hampir kena tembak selepas dijumpai berdua-duaan dengan pasangannya,” dakwa seorang peniaga pisang goreng, Zurin Hassan, 36. 

Zurin berkata, Mohd Nafirdaus, 24, seorang mekanik, ditemui anggota polis peronda bersama kekasihnya di dalam sebuah kereta di hadapan kedai perabot di Bukit Makmur, Sungai Lalang, jam 11.30 malam 5 Oktober lalu. 

Menurutnya, terkejut dengan kehadiran kereta peronda polis, Mohd Nafirdaus, yang tidak ada lesen memandu, terus menghidupkan enjin kereta Proton Satria miliknya dan memecut laju meninggalkan kawasan itu. 

“Kereta polis peronda mengejar mereka hingga ke rumah saya di Bandar Amanjaya. Saya berada di rumah dan terkejut mendengar bunyi bising di luar. Saya pun keluar meninjau dan mendapati seorang anggota polis peronda mengacukan pistol ke kepala adik saya. 

“Apabila ditanya mengapa, polis itu berkata, adik saya ditemui dalam keadaan berbogel di dalam keretanya bersama pasangan. Mereka kemudian membawanya ke Balai Polis Bedong untuk membuat laporan,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, Taman Intan, di sini, kelmarin. 

Zurin berkata, dia pergi ke Balai Polis Bedong dan apabila sampai di balai itu, dia dimaklumkan, laporan sudah selesai dibuat dan dia boleh membawa Mohd Nafirdaus dan kekasihnya pulang. 

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati kereta yang dipandu adiknya itu rosak teruk dan cermin kereta pecah. 

“Apabila ditanya, seorang anggota polis berkata, cermin belakang kereta adik saya pecah sebab terkena kayu, tetapi adik saya berkata, semasa kereta peronda polis itu mengejarnya dari Bukit Makmur, Sungai Lalang hingga ke rumah saya di Amanjaya, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah keretanya. 

Mohd Nafirdaus yang ditemui media di rumahnya berkata, dia masih dalam keadaan trauma akibat kejadian itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan insiden itu melibatkan anggota polis peronda dari salah sebuah balai di Kuala Muda. 

Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api.

No comments:

Post a Comment