Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

7 rumah rosak dipukul ribut


KHAIRUL Azhar Maamor menunjukkan atap bumbung rumahnya yang pecah selepas dipukul ribut di Lorong Penaga 2, Taman Senawang Jaya, Senawang, semalam.


RASAH 12 Okt. - Penghuni tujuh buah rumah di Taman Senawang Jaya, Senawang dekat sini terkejut apabila sebahagian atap rumah mereka tercabut akibat dipukul ribut dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2 petang tadi.
Menurut penghuni terbabit, ketika kejadian cuaca cerah dan tidak hujan, sebaliknya pusaran angin kelihatan yang merosakkan sebahagian bumbung rumah di Lorong Penaga 2, dalam kawasan taman perumahan berkenaan.
Seorang penghuni, Abu Bakar Md. Top, 61, berkata, kejadian ribut tidak pernah berlaku di taman perumahan itu.
''Semasa kejadian hanya anak saya berada dalam rumah dan sedang tidur," katanya di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, dia pergi ke kedai berhampiran dan apabila balik ke rumah didapati bumbungnya termasuk siling tercabut dan pecah.
''Sebanyak 30 keping atap rumah perlu diganti," katanya.
Mohd. Nazeri Abu Bakar, 36, pula berkata, semasa kejadian itu berlaku dia berada di dalam lorinya.
''Saya rasa lori bergoyang dengan kuat dan melihat pusaran melangkaui deretan rumah di lorong ini. Saya nampak dengan jelas pusaran angin itu setinggi 15 meter dan berpusing pantas dengan menerbangkan sampah-sarap selain kepingan atap," katanya.
Sementara itu, Khairul Azhar Maamor, 24, memberitahu, ketika dia sibuk mengangkat kain, bumbung rumahnya terbang ditiup angin kencang.
''Kejadian berlaku begitu pantas namun saya sekeluarga tidak mengalami kecederaan,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Senawang Jaya, Mokhtar Mohd. Rashid berkata, beliau telah berhubung dengan Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi bagi menguruskan bantuan segera kepada mangsa.
''Kerugian yang dialami mangsa terbabit akan dinilai sebelum rumah mereka dibaiki oleh kontraktor yang dilantik," katanya.
Pada Jumaat lalu, angin kencang beserta hujan lebat menerbangkan sebahagian bumbung rumah yang dihuni 51 keluarga di Taman Satria, Senawang.
Kejadian itu berlaku pada pukul 3.30 petang dan hampir sebahagian besar rumah di kawasan berkenaan rosak teruk di bahagian bumbung selain bekalan elektrik terputus.

No comments:

Post a Comment