Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

41 PATI ditahan disyaki lakukan jenayah kekerasan



JOHOR BAHRU 5 Okt. - Polis menahan seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar kawasan bandar raya dan Nusajaya dipercayai terlibat dengan jenayah kekerasan termasuk samun, pecah rumah dan ragut.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua mereka terdiri daripada 38 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi satu operasi besar-besaran bermula Khamis lalu sehingga semalam.
"Polis menemui pelbagai alatan yang dipercayai digunakan bagi melakukan jenayah termasuk kapak dan parang. Mereka yang ditahan juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri.
"Operasi akan diteruskan sehingga 31 Oktober ini dan kita akan berusaha sebaik mungkin untuk membersihkan Johor daripada kegiatan jenayah jalanan seperti ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya turut merampas dua komputer riba, kamera, telefon bimbit, sejumlah wang tunai dan jam tangan dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah mereka.
Beliau berkata, kesemua mereka kini ditahan untuk membantu siasatan bagi menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 kes jenayah kekerasan di negeri ini.
"Kita juga sudah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras kegiatan jenayah kekerasan ini secara menyeluruh dan kita juga akan memanggil para pengadu untuk melakukan kawad cam terhadap suspek yang ditahan.
"Mereka ini adalah parasit dan kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya mereka didapati bersalah," katanya.

No comments:

Post a Comment