Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

41 PATI dicekup




JOHOR BAHRU – Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua perempuan dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 50 jenayah kekerasan termasuk samun, pecah rumah dan ragut di sekitar bandar raya Johor Bahru dan Nusajaya berjaya dicekup polis. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua mereka ditahan dalam satu operasi besar-besaran bermula Khamis lalu sehingga semalam. 

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan berumur antara 22 hingga 45 tahun dan polis turut menemui pelbagai alatan seperti parang, kapak dan pisau dipercayai digunakan ketika melakukan pelbagai jenayah. 

“Selain itu, polis turut menemui dua komputer riba, kamera, telefon bimbit, sejumlah wang dan jam tangan dipercayai hasil rompakan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam. 

Mohd Mokhtar berkata, mereka yang ditangkap tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kini masih ditahan reman untuk membantu siasatan. 

Sementara itu, dalam kes lain pula, dua lelaki berumur 26 dan 30 tahun ditahan bersama 49 paket dadah jenis heroin dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Dahlia, Kampung Melayu, Kluang, tengah hari kelmarin. 

“Hasil ujian air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah dan kedua-dua mereka kini ditahan reman,” katanya. 

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sementara itu, Mohd Mokhtar turut berpesan kepada warga bandar raya ini supaya tidak terlibat dalam penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur hasutan. 

“Pihak kami memandang serius benda ini dan akan kenakan tindakan kepada mereka yang degil. Jangan pandai-pandai mereka atau menghantar berita-berita yang mengandungi hasutan dan palsu sama ada melalui SMS, emel, blog atau sebagainya,” katanya. 

Beliau menegaskan akan mengambil tindakan kepada mereka yang berbuat demikian juga kepada sesiapa yang melakukan ugutan melalui pelbagai bentuk telekomunikasi.

No comments:

Post a Comment