Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

40 maut bas dilanggar kereta api di Ukraine


MAYAT mangsa disusun di tepi landasan setelah bas yang mereka naiki dilanggar oleh kereta api di wilayah Dnipropetrovsk, Ukraine, semalam. - REUTERS


KIEV, Ukraine 12 Okt. - Sebuah bas yang sarat dengan penumpang berlanggar dengan sebuah kereta api di timur Ukraine hari ini, menyebabkan 40 terbunuh dan mencederakan 10 orang, kata polis.
Menteri Dalam Negeri, Yevheny Kravets kemalangan itu berlaku awal pagi ini di luar bandar Marhanets di kawasan Dnipropetrovsk selepas bas itu cuba melintas landasan tanpa menghiraukan bunyi siren yang menandakan kereta api datang dari arah hadapan.
Pasukan penyelamat, perubatan dan penyiasat berada di tempat kejadian. Penumpang yang mengalami kecederaan berada dalam keadaan kritikal, kata Kravets.
Kereta api itu telah mengheret bas berkenaan sejauh 30 meter di landasan selepas rempuhan.
Kemalangan jalan raya dan kereta api merupakan perkara biasa di Ukraine di mana jalan-jalannya berada dalam keadaan yang teruk, kenderaan tidak diselenggara dengan baik dan pemandu serta penumpang kebiasaannya tidak menghiraukan keselamatan dan undang-undang jalan raya.
Sementara itu di Poland, seramai 17 orang terbunuh apabila sebuah bas mini yang sarat dengan penumpang bertembung dengan sebuah lori treler dalam satu kemalangan di selatan ibu negeri Poland, Warsaw.
Kemalangan itu berlaku tidak lama selepas pukul 6 pagi (1 tengah hari waktu tempatan) berhampiran bandar Nowe Miasto nad Pilica, ketika bas itu berlanggar dengan lori itu.
"16 orang maut di tempat kejadian sementara seorang lagi maut selepas dikejarkan ke hospital," kata jurucakap polis tempatan, Tadeusz Kaczmarek memberitahu AFP.
Seorang lagi penumpang bas itu dilaporkan mengalami kecederaan.
"Bas Volkswagen itu membawa 18 penumpang yang barangkali pekerja sambilan. Kenderaan itu tidak sesuai untuk para penumpang. Mereka tidak memakai tali pinggang keledar dan duduk di atas kotak kayu.
"Bas itu terbabas ke lorong kiri dan berlanggar dengan sebuah lori treler," kata jurucakap polis kebangsaan, Mariusz Sokolowski ketika bercakap pada saluran berita tanpa henti, TVP Info.
Katanya, kedua-dua kenderaan itu mungkin dipandu dalam keadaan laju. - AP/AFP

No comments:

Post a Comment