Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

4 suspek dihadap ke mahkamah hari ini

SUSPEK utama, peguam, N Pathmababhan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting, pagi ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Dua peguam adik-beradik dan dua suspek lain yang sebelum ini ditahan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Banting, pagi esok.
Peguam bagi dua beradik berkenaan, Ravi Nekoo ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan turut memaklumkan akan membuat permohonan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
"Mahkamah akan baca pertuduhan dan kemungkinan pihak pendakwa raya akan membuat permohonan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Ravi juga memaklumkan tidak mengetahui kedua-dua anak guamnya akan didakwa di bawah seksyen mana.
"Esok kita semua akan tahu keputusan mahkamah berhubung pendakwaan tersebut," katanya.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan yang difailkan oleh dua beradik yang kini berada dalam tahanan reman berhubung kes pembunuhan beberapa individu termasuk Sosilawati.
Ravi dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media memberitahu, semakan yang baru difailkan semalam ditolak oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah tanpa mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.
''Permohonan itu ditolak oleh mahkamah tanpa mendengar hujah daripada mana-mana pihak. Pihak kami dimaklumkan mengenai perkara tersebut melalui faks yang dihantar oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Haslina Basaruddin kira-kira pukul 11.50 pagi hari ini,'' katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat berhubung keputusan tersebut.
''Kami berpendapat mahkamah seharusnya mendengar permohonan ini kerana ia membabitkan hak orang yang ditahan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 325(2) Kanun Tatacara Jenayah.
''Walaupun Seksyen 326 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan bahawa hak untuk didengar bukanlah satu perkara yang automatik tetapi bagi individu yang ditahan, peruntukan ini tidak boleh diguna pakai,'' ujarnya.
Secara keseluruhan, kedua-dua suspek yang juga peguam telah direman dan dilanjutkan perintah tersebut sebanyak tiga kali sejak ditahan 11 September lalu bagi tiga kes berbeza iaitu Sosilawati dan tiga rakannya (14 hari), ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, (12 hari) dan Mohd. Shafik serta Theravaraj (enam hari).
Perintah reman itu juga dibuat secara berterusan antara satu sama lain sejak dua beradik itu mula ditahan pada Hari Raya Aidilfitri kedua yang lalu di premis beralamat No. 109, Jalan Cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting, Selangor.
Selain dua beradik itu, turut ditahan reman ialah dua orang wanita dan beberapa orang lagi dipercayai pekerja ladang salah seorang suspek serta terbaru, seorang gadis, Jesyntha Clarene Isreal yang menyerah diri selepas mengetahui dirinya sedang dicari oleh pihak polis.

No comments:

Post a Comment