Search This Blog

Friday, October 15, 2010

4 beranak terkejut rumah dihempap dahan pokok


KAMARUZAMAN Malik menunjukkan bumbung bahagian belakang rumahnya yang rosak akibat dihempap dahan pokok di Kampung Beserah Baru, Kuantan, semalam.

sumber
KUANTAN 14 Okt. - Empat beranak terselamat apabila sebatang dahan pokok besar menghempap bumbung rumah mereka dalam kejadian ribut di Kampung Beserah Baru di sini semalam.
Mangsa, Kamaruzaman Malik, 45, berkata, kejadian pukul 11 malam itu turut memusnahkan bahagian dapur rumahnya termasuk bumbung dan siling.
"Biasanya pada waktu itu saya dan isteri, Noraini Laila, berada di dapur untuk membungkus barang jualan seperti roti, piza dan sosej. Bagaimanapun, semalam kami selesai menyiapkan tugas harian itu lebih awal iaitu pada pukul 6 petang.
"Saya bersyukur kerana jika tidak, saya tidak dapat membayangkan nasib yang bakal menimpa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Kamaruzaman yang merupakan seorang peniaga berkata, dia ketika itu sedang menonton televisyen bersama isteri namun terkejut dan menyangkakan rumah mereka dilanda gempa bumi ekoran bunyi dentuman dan gegaran yang kuat.
"Kami sekeluarga termasuk dua anak saya yang sedang tidur di dalam bilik, segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Dia berkata, selepas ribut kembali reda, dia sekeluarga segera kembali ke rumah dan meninjau keadaan di persekitaran.
"Rupa-rupanya sebatang dahan pokok besar di sebelah rumah saya tumbang dan menghempap bahagian dapur," katanya.
Berikutan kejadian itu, ujarnya, dia mengalami kerugian kira-kira RM5,000 setelah bumbung dan siling rumahnya rosak teruk.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat dan tidak mengalami kecederaan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment