Search This Blog

Sunday, October 24, 2010

32 GRO warga asing ditahan





SEBAHAGIAN daripada GRO yang cuba menyembunyikan diri dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis hiburan di Seremban, semalam.


RASAH 23 Okt. – Taktik menyembunyikan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dalam ‘lubang tikus’ bagi mengaburi pihak berkuasa nyata tidak berhasil apabila kesemua mereka dicekup dalam ‘Ops Noda’ di sebuah premis hiburan di sini malam tadi.
Dalam serbuan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, seramai 32 GRO ditahan ketika cuba bersembunyi di dalam lubang tikus berkenaan.
Pegawai Operasinya, Asisten Supritendan Khairi Anuar Ruslan berkata, operasi bermula pukul 9.30 malam melibatkan dua pegawai serta 11 anggota dari bahagian berkenaan.
Katanya, hasil serbuan itu pihaknya berjaya menahan 25 GRO warga China manakala selebihnya merupakan wanita Thailand.
“Ketika serbuan, kesemua mereka sedang leka melayan pelanggan masing-masing sebelum tersentak dengan kehadiran pihak polis yang menyerbu masuk premis hiburan itu.
“Berikutan itu, ada di antara GRO berkenaan didapati cuba melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan namun kita berjaya menahan mereka.
“Terdapat sebahagian besar GRO itu cuba menyembunyikan diri dalam lubang tikus yang disediakan oleh pihak pengusaha,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Khairi Anuar memberitahu, kesemua GRO berkenaan berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an telah menyalahgunakan pas lawatan kerja ke negara ini sebaliknya menjadi pelayan di pusat hiburan terbabit.
Katanya, serbuan yang dilancarkan itu dibuat setelah pihaknya membuat risikan selama dua minggu terhadap aktiviti yang dilakukan oleh pengusaha berkenaan.
Berdasarkan siasatan, premis yang beroperasi hampir tiga tahun ini menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan mereka menyembunyikan gadis-gadis berkenaan.
“Dalam serbuan itu, kita juga menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai melindungi wanita berkenaan,” katanya.
Jelasnya, penjaga premis itu ditahan atas kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing.

No comments:

Post a Comment