Search This Blog

Friday, October 15, 2010

300 rumah dikesan curi elektrik

sumber
SEMPORNA 14 Okt. - Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) mengesan lebih 300 buah rumah membabitkan 18 kampung daerah ini telah melakukan aktiviti penyambungan elektrik haram.
Pengurus Kanan Korporat Komunikasinya, Chendramata Sinteh berkata, kegiatan itu berjaya dibongkar oleh pihak SESB dalam operasi membanteras aktiviti penyambungan haram yang dijalankan di daerah itu, baru-baru ini.
Menurutnya, operasi selama 10 hari itu juga telah berjaya merampas kira-kira 100 kilogram wayar pelbagai jenis dan beberapa batang paip selepas dikesan digunakan untuk menyalur dan menyembunyikan wayar sambungan haram.
Beliau berkata, sebahagian kawasan yang dikenal pasti menjalankan kegiatan itu ialah Kampung Panji, Simunul, Sejati, Seri Aman, Bubul Lama dan Tunggulangan.
"Kita dapati ada juga rumah-rumah yang bermeter di kawasan tersebut turut memberi bekalan ke rumah yang lain tanpa pengetahuan SESB dan mengambil punca elektrik secara terus dengan membuat penyambungan talian perkhidmatan tanpa meter.
"Kabel-kabel ini turut ditanam dalam tanah. Tindakan itu tidak selamat dan berbahaya kepada pengguna lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sehubungan itu, Chendramata menasihati orang ramai supaya tidak melakukan penyambungan elektrik haram bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, semua penyambungan bekalan ke premis pengguna hendaklah dibuat melalui SESB.
Dalam pada itu, katanya SESB meminta kerjasama orang ramai agar memaklumkan kepada pihaknya mengenai kegiatan penyambungan haram di dalam kawasan pemasangan SESB.
Menurutnya, kegiatan penyambungan haram boleh menjejaskan sistem pembekalan elektrik sedia ada dan boleh menyebabkan renjatan kepada pelaku atau orang awam.

No comments:

Post a Comment