Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

24 rumah rosak dalam kejadian ribut



06/10/2010 6:59pm

KEPALA BATAS – Sebanyak 24 buah rumah rosak apabila kebanyakan bumbung rumah berkenaan diterbangkan angin dalam satu kejadian hujan lebat disertai ribut di kawasan Penaga di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, 10 rumah rosak teruk dan hampir hilang keseluruhan bumbungnya dalam kejadian yang berlaku sekelip mata.
Menurut salah seorang mangsa Aminah Yaakob, 45, semasa kejadian beliau berada di bahagian dapur rumahnya dan tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga menyebabkan bumbung rumah tercabut.
Katanya ketika ditemui hari ini, kejadian ribut itu berlaku dalam tempoh kurang lima minit dan beliau dengan segera mengarahkan tiga anaknya keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.
Sementara itu, Shapie Sarip, 50, berkata, beliau sedang bersiap untuk menunaikan solat maghrib semasa kejadian tersebut.
"Tiba-tiba sahaja bunyi berdentum dan sedar-sedar semua terbang, saya hanya mampu mengingati Allah, syukur nyawa saya masih ada dan semua anggota keluarga saya selamat,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment