Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

20 rumah, 2 gerai rosak dipukul ribut



Zainudin Ali (kanan) bersama penduduk kampung bergotong-royong membersihkan pokok yang meranapkan gerainya dalam kejadian angin di Kampung Tengah Tualang, Pokok Sena, kelmarin.



POKOK SENA 12 Okt. - Kira-kira 20 buah rumah dari tiga buah kampung di sini rosak akibat dipukul ribut dan dihempap pokok tumbang petang semalam.
Kampung terlibat ialah Kampung Tengah Tualang, Kampung Gulau dan Kampung Permatang Limau.
Menurut Sariah Mat Daud, 40, dari Kampung Tengah Tualang, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu dia berada di dalam rumah bersama dua anaknya.
"Ketika itu angin bertiup kencang disusuli hujan yang begitu lebat. Mula-mula angin bertiup tidak begitu kencang, namun selang beberapa minit ribut melanda sehingga menumbangkan pokok keranji berhampiran rumah saya," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dahan pokok keranji itu patah lalu menghempap bumbung garaj keretanya.
"Bumbung tersebut ranap dan kereta saya turut rosak dihempap dahan pokok itu. Dua buah gerai yang berada berhampiran pokok tersebut turut rosak teruk," katanya.
Jelasnya, ketika pokok tersebut tumbang menghempap garaj rumahnya ada beberapa penduduk kampung sedang berteduh di situ namun mereka sempat melarikan diri.
Dalam pada itu, pemilik gerai yang rosak dihempap dahan itu, Zainudin Ali, 45, berkata, ketika ribut berkenaan melanda dia sedang memasak untuk pelanggan.
"Saya dengar bunyi angin yang begitu kuat dan nampak angin berpusar berwarna putih di langit. Saya berasa takut kerana tidak pernah berhadapan dengan kejadian seumpama ini dan dalam sekelip mata gerai saya rosak dihempap dahan pokok," ujarnya.

No comments:

Post a Comment