Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

2 sahabat terlepas hukuman rogol, kini hadapi tuduhan cabul mangsa



SEREMBAN 5 Okt. - Dua sahabat yang terlepas hukuman penjara 11 tahun dan enam sebatan atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, kini diperintahkan membela diri atas tuduhan mencabul mangsa.
Itu yang berlaku kepada Nazri Hafizol Punawan, 24, dan Mohammad Halim Dollah, 30, yang pada awalnya berasa lega selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menerima rayuan mereka atas tuduhan berkenaan.
Pada Julai lalu, mereka dihukum penjara 11 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur, dua tahun lalu.
Mereka didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun enam bulan di dalam sebuah kereta di tepi kolam air di Bukit Pelandok, Port Dickson pada pukul 3.20 pagi, 16 Ogos 2008.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin membenarkan rayuan tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan berlakunya penetrasi (kemasukan) dalam kemaluan mangsa.
''Pihak pendakwaan gagal memanggil pakar perubatan yang memeriksa mangsa dan kegagalan itu telah menjejaskan kes mereka.
''Bukti berlakunya penetrasi penting kerana ia merupakan antara elemen utama bagi tuduhan merogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,'' katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Nasfy berkata, daripada keterangan saksi terdapat kes prima facie bagi kesalahan mencabul mengikut Seksyen 354 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
''Oleh itu mahkamah membenarkan rayuan tertuduh atas hukuman sebelum ini tetapi memerintahkan kamu berdua membela diri di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencabul mangsa,'' ujar Ahmad Nasfy.
Mendengar keputusan itu, tertuduh yang memakai baju kemeja hanya menundukkan kepala masing-masing.
Mahkamah juga membenarkan kedua-dua tertuduh yang sudah berkahwin dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur A'minahtul Mardiah Md. Nor manakala peguam Jason Tang dan A. Partheeban mewakili tertuduh.

No comments:

Post a Comment