Search This Blog

Monday, October 25, 2010

13 rumah rosak dilanda ribut



BIDOR - Sebanyak 13 rumah di Taman Permai, di sini rosak termasuk sembilan daripadanya rosak teruk akibat dipukul angin ribut, petang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan ada di antara keluarga yang terlibat mengalami kerugian kerana kerosakan barangan rumah termasuk peralatan elektrik. 

Salah seorang mangsa, P Nixxon, 32, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya baru pulang berniaga. 

Menurutnya, semasa kejadian itu, angin kencang dipercayai puting beliung tiba-tiba sahaja melintasi di hadapan rumahnya. 

“Dengan jelas saya lihat angin puting beliung itu lalu di hadapan kami dan saya sedaya upaya cuba untuk menutup pintu rumah. 

“Namun angin yang sangat kuat itu menerbangkan bumbung hadapan rumah kami,” katanya. 

Nixxon berkata, akibat kejadian itu, rumahnya dimasuki air dan menyebabkan peralatan elektrik rosak. 

Katanya, kejadian ini adalah kali kedua dialaminya, namun kali ini melibatkan kerosakan yang amat teruk. 

“Bukan sahaja bumbung diterbangkan angin tetapi rumah kami juga dimasuki air sehingga menyebabkan barangan berharga dalam rumah rosak. 

“Nasib baik kami segera menutup bekalan elektrik di rumah kerana risau kejutan elektrik akan berlaku sekiranya dibiarkan terbuka begitu sahaja,” katanya. 

Dia berkata, kini dia sekeluarga menetap sementara di rumah ibu mereka di Batu 4, Jalan Teluk Intan, di sini sementara menunggu rumahnya siap dibaiki. 

“Kejadian ini begitu mengejutkan kerana kami sekeluarga baru pulang bekerja, namun bersyukur kerana tiada kecederaan dialami. 

“Setakat ini, kami menunggu bantuan untuk membaiki rumah ini kerana kami tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membaiki keseluruhan kerosakan,” katanya.: 



Alami kerosakan paling teruk 

Bagi Azli Razali, 32, pula rumah yang diduduki bersama isteri dan tiga anaknya di sini adalah rumah yang mengalami kerosakan paling teruk. 

Menurutnya, semasa kejadian, dia sekeluarga tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Felda Besout di Sungkai di sini. 

“Kira-kira jam 6 petang saya menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan bahawa rumah saya rosak akibat dilanda ribut. 

“Saya sekeluarga bergegas pulang ke rumah untuk melihat keadaan dan alangkah terkejutnya kerana bahagian bumbung rumah kami sudah tiada kerana diterbangkan angin kencang,” katanya. 

Azli berkata, kejadian ini menyebabkan keseluruhan peralatan di rumahnya tidak boleh digunakan lagi kerana terkena air hujan. 

Katanya, barangan elektrik seperti televisyen, peti air, mesin basuh dan banyak lagi sudah tidak boleh digunakan selain siling rumah juga hampir runtuh. 

“Siling rumah kami hampir runtuh kerana diterbangkan angin kencang dan keseluruhan rumah pula ditenggelami air. 

"Tetapi saya tetap bersyukur kerana saya sekeluarga terselamat dalam kejadian ini kerana sekiranya kami berada di rumah pada waktu itu, saya tidak pasti apakah nasib yang bakal menimpa kami sekeluarga,” katanya. 

Menurutnya, anggaran kerugian yang dialami kemungkinan mencecah puluhan ribu ringgit memandangkan kesemua peralatan di dalam rumah sudah tidak boleh digunakan lagi. 

“Saya bekerja sebagai pekerja kontrak sahaja dan kejadian ini benar-benar mengejutkan kami,” katanya.



Ribut sama di kampung lain 

Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Petalin, Bidor, Zaharin Jalaluddin berkata, selain rumah di kawasan perumahan itu yang rosak, terdapat dua rumah lagi yang mengalami nasib sama iaitu di Kampung Serentang Baru di sini. 

Menurutnya, kedua-dua rumah itu bagaimanapun tidak mengalami kerosakan teruk sebaliknya hanya dihempap ranting pokok yang tumbang akibat angin kencang itu. 

“Sebuah rumah nyaris dihempap pokok dalam kejadian ini, namun bernasib baik kerana hanya ditimpa bahagian ranting. 

“Sekiranya pokok rambutan yang tumbang ini menghempap rumah, kemungkinan kerugian yang lebih besar akan dialami selain boleh melibatkan nyawa penduduk,” katanya.



Bantuan segera akan disalurkan 

Sementara: itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan yang melawat lokasi kejadian berkata, pihaknya bersama Tabung Bencana Daerah Batang Padang akan menilai jumlah sebenar kerugian yang dialami mangsa. 

Menurutnya, syarikat pemaju, Syarikat Tenaga Dawana Sdn Bhd iaitu anak syarikat Maju Perak diminta untuk sama-sama memberi sumbangan bagi membaiki rumah yang rosak ini. 

“Kita bersama Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang (PDTBP) termasuk syarikat pemaju menghulurkan sumbangan segera bagi membaiki rumah yang rosak ini. 

“Pihak kami juga mengharapkan agar PDTBP dapat membaiki kerosakan ini selewatnya sehingga Selasa ini kerana ianya melibatkan mangsa yang tidak mempunyai tempat tinggal lain,” katanya. 

Samsudin berkata, tindakan segera perlu diambil kerana terdapat beberapa keluarga yang tidak mampu untuk menampung kos pembaikan terpaksa tidur di ruang tempat letak kereta di anjung rumah. 

Katanya, keadaan ini menimbulkan kerumitan kepada mangsa yang perlu bekerja dan anak mereka bersekolah, namun tidak mempunyai tempat tinggal lain. 

“Kebanyakan rumah yang rosak ini melibatkan sebahagian besar bahagian bumbung rumah dan ini menyebabkan rumah mereka dimasuki air dan tidak boleh digunakan. 

“Oleh itu, tindakan segera perlu diambil bagi membaiki kerosakan dan memberi keselesaan kepada penduduk untuk meneruskan hidup selepas ini,” katanya. 

Beliau berkata, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan perubahan dalam model politik kini, maka menjadi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat untuk membantu rakyat ditimpa bencana sebegini. 

“Sekarang tiba masanya untuk kita memberitahu rakyat segala kebajikan yang sering dititikberatkan oleh wakil rakyat UMNO kepada rakyat sejak dahulu lagi. 

“Namun saya mengucapkan terima kasih kepada jabatan dan penduduk setempat yang memberikan kerjasama terbaik dalam mengatasinya dan berharap kerjasama ini akan berkekalan sampai bila-bila,” katanya.

No comments:

Post a Comment