Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Wanita warga emas maut dilanggar lari di Raub

KUANTAN: Seorang wanita warga emas yang dipercayai menjadi mangsa langgar lari maut ketika cuba melintas jalan di Km 346, Jalan Raub-Lipis dekat Raub, semalam.
Jamilah Sali, 79, yang berasal dari Kampung Kali Tengah, Raub, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala di Hospital Raub, kata Pegawai Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Najib Jusoh.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 petang ketika Jamilah cuba melintas jalan.

"Ketika itu datang sebuah kereta jenis Nissan Cefiro dari arah Raub menghala ke Kuala Lumpur terlanggar mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke bahagian hadapan kereta itu sebelum jatuh ke atas jalan," katanya.

Mohd Najib berkata, menurut keterangan saksi, pemandu kereta berwarna perak itu kemudian bertindak memecut kereta melarikan diri dari tempat kejadian.

"Polis kini giat mengesan pemandu berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang lelaki Orang Asli maut apabila motosikalnya terbabas dan melanggar batu penghadang jalan di Kilometer 10, Jalan Pekan-Nenasi dekat Rompin, semalam.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, Karil a/l Hak, 31, meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mohd Najid berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari Pekan menuju ke rumahnya di Kampung Bukit Serok, Nenasi, dekat Rompin.-Bernama

No comments:

Post a Comment