Search This Blog

Monday, September 13, 2010

Umpan anak elak dicekup

KUALA LUMPUR: Bimbang dicekup polis, sepasang suami isteri sanggup menggunakan bayi lelaki mereka berusia sembilan bulan sebagai ‘wayang’ bagi mengelakkan tindakan menyeludup dadah syabu dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam kejadian kelmarin, pasangan warga Iran terbabit bagaimanapun gagal meraih simpati pihak berkuasa KLIA yang berjaya menghidu sesuatu tidak kena sebelum menemui dadah syabu seberat 1.2 kilogram.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, suspek dipercayai sengaja memilih Aidilfitri untuk menyeludup dadah masuk ke negara ini kerana menyangka pengawasan di pintu masuk negara sedikit longgar.

Menurutnya, pasangan terbabit yang ditahan bersama seorang rakan mereka dikesan membawa syabu disembunyikan dalam kotak mainan cakera padat (CD) sebelum dimasukkan pula ke dalam beg dibawa wanita berkenaan.

“Dadah yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM312,000. Polis yakin suspek cuba mengaburi polis dengan berpura-pura datang ke negara ini sebagai pelancong dengan membawa sekali bayi mereka berusia sembilan bulan.

“Taktik digunakan anggota sindiket terbabit bagaimanapun tidak berjaya apabila pemeriksaan pihak berkuasa berjaya mengesan dadah yang dibawa,” katanya.

Menurutnya, polis sebelum itu turut menahan seorang wanita warga Uganda berusia 30-an yang dikesan cuba menyeludup dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada hari sama.

Beliau berkata, suspek yang diperiksa kemudian ditemui menyembunyikan syabu seberat tiga kilogram bernilai RM780,000 dalam bagasi yang dibawanya.

“Suspek mungkin dijadikan ‘keldai dadah’ oleh sindiket pengedaran dadah di negaranya selepas usaha menggunakan wanita Malaysia semakin sukar berikutan wujud kesedaran di kalangan rakyat tempatan di sini,” katanya. Othman berkata, pada hari raya kedua kelmarin, seorang lagi lelaki warga Iran turut ditahan di KLIA bersama syabu seberat dua kilogram.

Beliau berkata, syabu bernilai RM520,000 disorokkan dalam bagasi yang dibawa.

“Hasil semua tangkapan itu, polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup dadah ke negara ini membabitkan lima warga asing bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.6 juta,” katanya.

No comments:

Post a Comment