Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Turut disyaki terlibat kes penipuan RM7.1j juta


KUALA LANGAT 16 Sept. - Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mempunyai beberapa kes jenayah termasuk kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat.
Polis menyatakan suspek yang berusia 41 tahun itu kini disiasat pula pembabitannya dalam satu kes jenayah komersial yang melibatkan penipuan wang sebanyak RM7.1 juta.
Semakan polis mendapati, suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk menipu urusan jual beli tanah dan melakukan pecah amanah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, setakat hari ini, polis mendapati tujuh kes jenayah komersial yang dilaporkan mempunyai kaitan secara langsung dengan suspek utama kes terbabit.
"Tujuh kes ini membabitkan laporan di Kuala Langat sahaja sejak tahun 2005," katanya kepada pemberita pada majlis Polis Bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banting di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar melakukan lawatan kerja pertamanya ke IPD tersebut.
Semalam, Khalid mendedahkan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik itu turut dikaitkan dengan dua lagi kes jenayah yang lain.
Satu kes melibatkan kehilangan seorang ahli perniagaan dari India dan satu lagi kes pembunuhan isteri kepada pemilik bengkel kereta di pekan Banting di sini pada tahun lalu.
Khalid berkata, berhubung kes jenayah komersial itu, pihaknya sedang meneliti dokumen-dokumen dan memanggil saksi bagi merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut mengenai kelewatan polis menyiasat kehilangan lelaki warga India yang dikatakan hilang pada awal tahun ini, beliau berkata, isteri mangsa hanya membuat laporan pada 8 September lalu.
"Kalau laporan tidak dibuat macam mana kita (polis) boleh tahu. Kita perlukan maklumat dan petunjuk untuk bertindak," jelasnya.
Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak kononnya pegawai-pegawai polis di kawasan Kuala Langat bertindak tutup sebelah mata ketika laporan dibuat ke atas suspek utama pembunuhan itu, Khalid berkata;
"Saya harap mereka yang ada maklumat itu datang buat laporan. Kalau takut buat laporan di sini (Selangor), buat laporan di Bukit Aman. Kalau takut juga, datang jumpa saya secara peribadi.
"Saya perlu laporan polis. Kalau tak nak jumpa saya di sini, datang jumpa saya di Shah Alam. Kita tidak akan melindungi pegawai kita yang menyeleweng atau tidak betul," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment