Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Tujuh sekeluarga tinggal segelai sepinggang menjelang Aidilfitri

JITRA: Kedatangan Syawal yang bakal tiba dua hari lagi sudah tidak bermakna buat tujuh sekeluarga apabila rumah setingkat yang mereka diami di Kampung Alor Batu, Mukim Gelung, di sini musnah dijilat api petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang semalam dan disedari oleh salah seorang penghuni yang sedang berehat di ruang tamu rumah tersebut apabila dia terbau asap dari bilik solat yang terletak di bahagian hadapan rumah itu.
Mangsa, Saiful Mohd Fitri Saibon, 28, berkata ketika kejadian sepupunya yang sedang berehat di ruang tamu rumah telah memasuki bilik sembahyang itu dan mendapati asap sudah memenuhi bilik dan api juga telah marak.

Saiful berkata, sepupunya itu kemudian memanggil ibu dan adiknya yang sedang tidur di bilik belakang sementara nenek dan seorang anak saudaranya yang kebetulan berada di beranda rumah lari keluar menyelamatkan diri.

"Saya bersyukur kerana sepupu sempat memanggil semua ahli keluarga yang ada dalam rumah keluar sebelum rumah ini hangus sepenuhnya dijilat api," katanya.

Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Perlis dan kira-kira lima kilometer sebelum sampai rumah, dia sudah nampak asap tebal di udara ketika berada di kawasan berbukit.

"Sejak pagi lagi saya sudah rasa tidak sedap hati...rupa-rupanya ada sesuatu berlaku ke atas keluarga saya.

"Sambutan raya tahun ini sudah tidak bermakna bagi kami sekeluarga kerana semua persiapan raya seperti baju dan kuih-muih musnah dalam kebakaran," katanya.

Sementara itu, Anggota Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar yang turut melawat mangsa memberitahu keluarga malang itu akan dibantu untuk mendapatkan rumah melalui bantuan rumah rakyat.

"Saya akan bawa perkara ini ke Jabatan Pembangunan Persekutuan Daerah Kubang Pasu bagi membolehkan mereka mendapat bantuan tersebut," katanya yang turut memberi bantuan segera berupa barang keperluan asas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohamad Darus ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada kira-kira jam 4.51 petang dan dua jentera tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.
"Dengan bantuan pasukan bomba sukarela Tunjang, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 30 minit, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment