Search This Blog

Sunday, September 5, 2010

Tujuh penunggang antara 10 korban hari pertama



Oleh Suhana Roslan, Haika Khazi, Mohd Amin Jalil dan Nojie Nadzirah 

2010/09/05

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kematian dicatatkan membabitkan 1,121 kemalangan pada hari pertama Ops Sikap ke-22, bermula kelmarin sempena perayaan Aidilfitri. 

Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kematian tertinggi membabitkan di Jalan Persekutuan sebanyak lima kes manakala Jalan Bandaran dan Jalan Negeri masing-masing mencatatkan dua kematian.
Sebanyak 475 jumlah kemalangan dicatatkan di Jalan Bandaran diikuti Jalan Persekutuan (281), Jalan Negeri (183), Lebuh Raya (115) dan lain-lain jalan (67).
Statistik juga menunjukkan penunggang motosikal menyumbang jumlah terbesar membabitkan tujuh kematian, diikuti kereta dan lori masing-masing mencatatkan 
dua dan satu kematian. 

Ops Sikap ke-22 yang akan berakhir 17 September ini bertujuan mengurangkan 
kes kemalangan jalan raya sempena Aidilfitri. 

Di SEREMBAN, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 laluan berisiko tinggi berikutan kekerapan berlaku kemalangan maut di laluan terbabit. 
Pengarah JKJR negeri, Mohd Rusdi Ismail, berkata antara laluan terbabit ialah kilometer (KM) 244 dan KM245 Lebuh Raya Utara Selatan, laluan baru Bukit Putus dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS). 

Beliau berkata, laluan lain termasuk KM15 Jalan Seremban-Kuala Lumpur, KM4 dan 8 Jalan Seremban-Johor Bahru, KM3 hingga KM5 Jalan Seremban-Port Dickson, KM25 Jalan Port Dickson-Melaka, KM18 dan KM81 Jalan Seremban-Kuala Pilah, KM43 Jalan Seremban-Johor Bahru, KM32 Jalan Gemas-Temerloh, KM67, KM77 dan KM100 Jalan Seremban-Johor Bahru. 

Di KUALA TERENGGANU, dalam tempoh hanya sejam, anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyamar sebagai penumpang dalam bas ekspres ke beberapa destinasi di Utara, semalam mengesan dan mengeluarkan sembilan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas. 

Anggota penguatkuasa JPJ yang menyamar sebagai penumpang biasa menaiki empat bas ekspres yang dipilih secara rawak di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala 
Terengganu (MBKT) bagi perjalanan menuju Utara. 

Sepanjang perjalanan kira-kira 73 kilometer dari Kuala Terengganu ke Stesen Penguatkuasa JPJ Air Sejuk Setiu, anggota JPJ yang berada di dalam bas berjaya mengesan dan mencatat beberapa kesalahan yang dilakukan pemandu. 

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata menerusi Operasi 3P (Penyamaran, Pengintipan dan Penahanan) itu, anggota penguatkuasa yang menyamar sebagai penumpang dapat mengesan beberapa jenis kesalahan termasuk memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit. 

Di PUTRAJAYA, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kini melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya bagi memberi peringkat dan kesedaran kepada orang ramai terutama warga Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan supaya sentiasa bersabar dan berhati-hati ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri, pada minggu depan. 

Berikutan itu, Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, berkata beliau sudah mengarah lebih 3,000 pegawai dan kakitangannya supaya mengedarkan risalah dan pelekat kenderaan berhubungan kempen keselamatan jalan raya kepada lebih 30,000 penduduk Putrajaya, Labuan dan Kuala Lumpur, dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment