Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Tak terniat ambil kesempatan

KUALA LUMPUR: “Tak pernah terlintas langsung di hati saya untuk mengambil kesempatan terhadap harta isteri dan keluarganya seperti tohmahan yang dilemparkan. Bagi saya, tiada lebih penting selain keharmonian keluarga dan anak-anak tiri saya,” kata suami Datuk Sosilawati Lawiya.
Ahli perniagaan berusia 48 tahun itu yang masih enggan identitinya didedahkan berkata, dia kurang menonjolkan diri di sebalik kematian tragis isterinya kerana tidak mahu orang tersalah anggap dan menuduh dia ingin mengambil harta jutawan wanita itu.

“Maklumlah perkahwinan saya dengannya masih baru, jadi orang mudah berprasangka terhadap saya. Insya-Allah, wang yang saya ada cukup untuk saya,” katanya dalam temuramah dengan RTM dan Harian Metro di sini, semalam.

Lelaki itu berkata, dia bernikah dengan jutawan kosmetik berkenaan pada November tahun lalu dan jarang mencampuri urusan perniagaan isterinya yang dipanggil dengan panggilan Wati.

“Saya sudah mengenali Wati 10 tahun lalu atas urusan perniagaan sebelum berkahwin dengannya, malah perkahwinan kami atas dasar cinta dan bukan seperti digembar-gemburkan masyarakat iaitu kerana harta atau sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa isterinya pada 26 Ogos lalu ketika menghantar Wati menghadiri perbicaraan mahkamah pada hari berkenaan dan sepanjang Ramadan lalu hanya dua kali mereka berbuka puasa bersama.

No comments:

Post a Comment