Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Solat Jumaat hanya 10 jemaah

KANGAR: “Kami bersolat Jumaat tidak ramai, cuma lapan atau 10 orang yang diimamkan Shuit Ismail selaku ketua kumpulan serta bertindak sebagai khatib di surau kami di sini,” kata seorang daripada pengikut Kumpulan Jamiah Al Nadzir Awwalun yang ditahan pihak berkuasa kerana bersolat Aidilfitri dua hari lebih awal, minggu lalu.
Dia yang ditemui semalam dan enggan namanya disiarkan berkata, Shuit, 51, dengan lantang menyampaikan khutbah Jumaat dikarangnya sendiri yang kandungannya penuh dengan unsur peringatan dan nasihat agama sehingga menyebabkan jemaah khusyuk mendengarnya.
Katanya, isi kandungan khutbah Jumaat disampaikan Shuit melekat dalam hati dan kelebihan itu tidak pernah diperoleh sejak mula mempelajari Islam beberapa tahun lalu.

“Saya mengakui sejak aktif menyertai kumpulan berkenaan pada 2005, jiwa tenang dan minat mempelajari Islam kian membara. Saya berpuas hati apabila menyertai kumpulan ini,” katanya.

Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, dia bersolat Jumaat bersama ahli kumpulan di bangunan kedai milik Shuit yang dijadikan surau serta pusat pergerakan di sekitar Perlis.

Pengikut berusia lewat 40-an itu berkata, Shuit didakwa mempunyai ilmu tinggi dalam agama bertindak sebagai khatib serta imam bagi setiap solat Jumaat.

“Shuit membaca khutbah yang dikarangnya sendiri dan semua makmum khusyuk mendengarnya. Apabila dia tiada, salah seorang pengikut kanannya bertindak sebagai pengganti imam,” katanya.

Bagaiamanapun, dia enggan mengulas lanjut apabila ditanya perbuatan solat Jumaat di luar masjid ditetapkan dan tidak mencukupi 40 anak kariah salah di sisi agama dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

“Yang penting, kami tidak mengganggu sesiapa serta menghormati umat Islam yang lain, termasuk mengenai pendirian dan amalan mereka dalam beragama,” katanya.

Pada 8 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kangar menjatuhkan denda RM1,000 atau empat bulan penjara kepada Shuit selaku ketua Kumpulan Jamiah Al Nadzir Awwalun selepas didapati bersalah merayakan Aidilfitri terlalu awal.

Manakala lapan lagi pengikutnya, termasuk isteri, dua anak lelaki serta menantunya dikenakan hukuman denda RM900 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan ditetapkan.
Shuit mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 28 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 kerana mengingkari atau tidak menghiraukan titah perintah Raja Pemerintah berkenaan dengan memulakan puasa Ramadan, Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Haji.

Pengikut itu berkata, pada 8 September lalu, dia turut merayakan Aidilfitri tetapi tidak sempat bersolat sunat pada pagi itu bersama ahli kumpulan kerana sibuk urusan perniagaan.

“Saya mengakui ditegur isteri yang kehairanan melihat saya menyambut Aidilfitri dua hari lebih awal. Kami berpuasa dua hari lebih awal daripada ditetapkan pemerintah,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar pengikut kumpulan terbabit di Dumai, Indonesia turut merayakan Aidilfitri pada tarikh sama. Difahamkan, kumpulan itu diasaskan guru agama yang meninggal dunia pada usia 60-an, 2006 lalu di Dumai.

No comments:

Post a Comment