Search This Blog

Friday, September 17, 2010

SMS si gila bayang

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menolak cinta, seorang gadis kini tertekan selepas menerima puluhan khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah daripada ‘peminat’ gila yang berulang kali memujuk dan mengajak mangsa melakukan hubungan seks.
Lebih mengejutkan apabila SMS berbaur pelbagai perkataan seks itu termasuk ayat-ayat bertujuan menaikkan rasa ghairah terhadap mangsa dihantar sendiri peminat berkenaan yang juga dikatakan pengurus di tempatnya bekerja. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 29, berkata, dia mula mengenali lelaki berkenaan sejak bekerja di syarikat sama lima tahun lalu dan lelaki terbabit banyak membantunya dalam melicinkan urusan tugas.
Menurutnya, lelaki itu dipercayai menaruh hati terhadapnya dan pernah cuba memikatnya berulang kali, namun dia enggan menerima cinta daripada lelaki berkenaan atas pelbagai faktor termasuk usia. “Bagaimanapun lelaki terbabit tidak putus asa dan cuba untuk mendekati saya selain menggoda.

“Namun, saya terkejut apabila dia sanggup mengirimkan SMS berbaur lucah dan rangsangan seks ke telefon bimbit saya. Dia mungkin berharap saya akan memberi tindak balas terhadap SMS dihantarnya itu,” katanya. Terbaru, dia menerima tiga SMS dihantar ke telefon bimbitnya antara jam 10.50 hingga 11.30 malam daripada lelaki terbabit yang bersungguh-sungguh mengajaknya melakukan seks termasuk menggunakan perkataan merujuk kepada bahagian alat sulit wanita. “Lelaki berkenaan yang ketika itu sedang bercuti daripada tugas bukan hanya menghantar SMS lucah yang sukar diterima akal, malah turut menghantar SMS ugutan dipercayai akibat kecewa dengan cintanya ditolak. “Siri gangguan terbaru itu benar-benar membuatkan jiwa saya tertekan apatah lagi lelaki yang juga bekerja di tempat sama pernah meluahkan hajat nakal dengan mempelawa saya melakukan seks ketika dia sedang bertugas di pejabat,” katanya.

Menurutnya, gangguan seksual yang dialaminya itu menyebabkan dia malu dan seolah-olah harga maruah dirinya terlalu murah. Susulan itu, mangsa yang berasal dari Setapak, di sini, membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi bagi menghentikan gangguan seksual dialaminya itu.

“Tindakannya itu menyebabkan saya menjadi takut tidak keruan dan mengalami tekanan perasaan akibat gangguan berterusan dilakukan itu.

“Berikutan itu, pegawai polis menyiasat kes itu mengambil telefon bimbit saya untuk dijadikan bukti. Malah, polis turut datang ke pejabat saya untuk melakukan siasatan,” katanya. Bagaimanapun, difahamkan lelaki berusia 40-an yang kini sedang bercuti panjang mengambil keputusan berhenti kerja. Difahamkan, polis kini sedang melakukan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang ditemui berkata, polis memandang serius laporan gangguan seksual diterima mangsa dan siasatan rapi akan dilakukan. Menurutnya, polis terlebih dahulu akan mengenal pasti bentuk gangguan seksual yang dialami mangsa sama ada ia hanya dalam bentuk SMS atau turut membabitkan sentuhan fizikal. “Jika ia membabitkan penghantaran gambar lucah atau sebagainya, suspek boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment