Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Serah bukti rakaman perbualan


S. Usharani menunjukkan telefon bimbit yang merakamkan perbualannya dengan suspek yang akan diserahkan kepada KPN, hari ini.


KAPAR 23 Sept. - Isteri hartawan India yang dikatakan dibunuh selepas berurusan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya akan menyerahkan bukti berupa dua rakaman perbualan telefon kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, esok.
S. Usharani, 26, berkata, beliau akan menyerahkan bukti itu sendiri bersama-sama Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan beberapa orang peguam pemerhati pada pukul 11.30 pagi.
Menurut Usharani, bagaimanapun bukti tersebut hanya akan diserahkannya selepas pihaknya membuat laporan di mana-mana balai polis, esok.
"Saya akan menyerahkan bukti berupa rakaman perbualan telefon antara saya dan dia (suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati).
"Selain itu rakaman perbualan antara saya dan dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Dia (suspek utama) dalam rakaman perbualan dengan saya pada 28 Januari 2010 menyebut sedang berada di Kathmandu, Nepal dan akan beritahu lokasi suami, Allal Kathan Muturaja apabila pulang ke negara ini (Malaysia)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Manikavasagam di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada Manikavasagam kerana membawa Sharani ke lokasi pembunuhan Sosilawati serta tiga yang lain di Ladang Gadong, Banting dekat sini kerana dikhuatiri mengganggu penyiasatan pihak polis.
Usharani telah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada 8 September lalu.
Sementara itu, difahamkan, bukti yang ingin diserahkan Usharani dikatakan boleh merungkai kronologi kaitan kehilangan Allal Kathan dengan suspek utama kes berkenaan, selepas suami wanita berkenaan tiba di Kuala Lumpur, 18 Januari lalu.
Selain Manikavasagam, beberapa peguam pemerhati juga akan membantu Usharani dalam kes kehilangan suami beliau yang disahkan telah dibunuh.
Salah seorang peguam tersebut, A. Sivanesan berharap pihak polis dapat memberi panduan kepada Usharani dalam menyelesaikan kes tersebut.

No comments:

Post a Comment