Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Sarjan TUDM gagal dapat dokumen pendakwaan



PETALING JAYA 6 Sept. - Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), N. Tharmendran gagal memperoleh 16 dokumen milik pendakwaan dalam kes kehilangan enjin jet TUDM.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mendapati tiada peruntukan atau asas undang-undang yang membolehkan kesemua dokumen dibekalkan kepada pihak pembelaan.
Keputusan dibuat setelah selesai mendengar hujahan peguam bela N. Surendran yang mewakili Tharmendran dan Timbalan Pendakwa Raya, Hamidi Mohd. Nor.
Tertuduh itu memfailkan permohonan pada 20 Julai lalu untuk mendapatkan dokumen surat-menyurat antara Menteri Pertahanan dengan Panglima TUDM, buku log pintu keluar masuk Bangunan Material Processing Shed MATRA Pangkalan Udara TUDM, Sungai Besi dan pas pintu pengeluaran dua enjin.
Tertuduh turut memohon rakaman keterangan ketika siasatan.
Terdahulu, Surendran berhujah, tertuduh mahu mendapatkan dokumen bagi menunjukkan dia tidak terlibat, tidak bersalah dan tidak berada di tempat kejadian.
Sementara itu, Hamidi ketika membalas hujah berkata, tiada alasan terperinci dan nas undang-undang dikemukakan dalam notis usul tersebut bagi menyokong permohonan itu.
''Seksyen 51A (2) Kanun Tatacara Jenayah menyatakan, pihak pendakwaan tidak boleh memberikan fakta-fakta yang berpihak kepada tertuduh jika pemberian itu bertentangan dengan kepentingan awam,'' katanya.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 11 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment