Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Saksi nampak pesawat berpusing sebelum terjatuh


TEMERLOH 16 Sept. - Seorang peneroka berkata, beliau melihat helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat berpusing sebelum melanggar pokok getah di atas bukit dan terhempas di celah pokok di ladang getah Bukit Lada, Felcra Kuala Kaung dekat Lanchang pagi tadi.
Khamis@Wahab Yaakob, 60, berkata, kejadian tersebut yang berlaku pukul 10 pagi, ketika dia baru memulakan tugas sebagai mandur membuat jalan kegunaan Felcra di kawasan berkenaan.
Katanya, pada mulanya dia mendengar helikopter terbang rendah berdekatan dengan Lebuhraya Pantai Timur tetapi tidak nampak pesawat itu kerana kabus tebal.
"Selepas itu, saya dapat melihat helikopter itu berpusing sebelum melanggar pokok getah yang berada di atas bukit dan terhempas di celah pokok iaitu kira-kira 200 meter dari tempat saya bekerja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Khamis, peneroka Felda Bukit Tamah itu berkata, dia kemudiannya menunggang motornya ke arah pesawat berkenaan dan sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat tiga lelaki yang menaiki helikopter itu sudah berjaya keluar dan mengalami luka-luka manakala salah seorang mangsa cedera parah di bahagian leher, tertusuk ranting pokok getah.
"Saya lihat salah seorang daripada mereka luka teruk di leher dan seorang daripada mangsa menanyakan saya lokasi mereka dan saya beritahu mereka yang saya akan melaporkan kejadian itu kepada pengurus ladang dan pihak polis di Pondok Polis Mempatih supaya menghantar bantuan," katanya.
Menurutnya, dia seterusnya menghubungi pengurus Felcra Kuala Kaung bagi memaklumkan kejadian tersebut dan sejurus selepas itu beberapa kakitangan Felcra tiba di tempat kejadian bagi menghantar mereka ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, insiden helikopter terhempas itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi, terdapat tiga anggota bomba di dalam helikopter jenis Augusta A109E dari unit bomba yang berpengkalan di Subang.
Mereka ialah juruterbang, Kapten Roslan Aziz, 30, yang mengalami kecederaan parah, Kuartermaster Udara, Asrul Mohd. Nordin, 33, dan pembantu juruterbang, Khairil Azuan Jamaluddin, 30, kedua-duanya hanya mengalami cedera ringan.
Ahmad Fadzillah berkata, Roslan dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HOSHAS manakala dua lagi anggota turut mendapat rawatan di hospital sama.
Sementara itu, ibu kepada Khairil Azuan, Fatimah Sidin berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya sendiri untuk memaklumkan kejadian itu pukul 11.30 pagi sebelum dia dan jirannya bergegas ke HOSHAS.
"Saya terkejut dan hampir pitam ketika dia beritahu mengenai kejadian itu namun saya bersyukur kecederaan yang dialaminya tidak serius," sambil menambah anaknya telah berkhidmat dengan bomba lebih kurang empat tahun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut meluangkan masa sejam melawat dan bertanyakan khabar Khairil Azuan dan Asrul di HOSHAH hari ini.
Dalam pada itu, kedua-dua mangsa berkenaan enggan ditemuramah pemberita. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment