Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Remaja maut motosikal terbabas


Oleh Nasir Abd Wahab
anasir@bharian.com.my
2010/09/15

Tiga pembonceng lagi cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan 

MELAKA: Seorang daripada empat remaja yang menaiki sebuah motosikal, maut apabila motosikal berkenaan terbabas hampir memasuki sebuah longkang di Jalan Bukit Beruang, malam tadi.Dalam kemalangan pada jam 10 malam itu, mangsa yang terbunuh ialah Khairul Anuar Shahrir, (kanan) 14, manakala adiknya, Khairul Areff, 9, bersama dua rakannya, Iffwandi Atan, 12, dan Muhammad Shidi Rashid, 14, kedua-duanya dari Taman Bukit Katil yang datang ke rumah mangsa untuk berhari raya, patah tangan kiri.
Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poonam E Kling, berkata ketika kejadian, mangsa bersama adik dan dua rakannya menaiki sebuah motosikal dari arah Taman Kerjasama, Bukit Beruang sebelum terbabas ke kiri jalan berhampiran Taman Bunga Raya iaitu kira-kira satu kilometer dari rumah mereka di Kampung Bukit Beruang, dekat sini. 

“Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki empat remaja itu terbabas ke kiri jalan berhampiran selekoh berhampiran Taman Bunga Raya. 

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi. 

Jenazah mangsa dikebumikan di tanah waqaf karyah Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang sebelum solat zohor. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menziarahui keluarga mangsa di tanah waqaf itu. 
Sementara itu, ayah mangsa, Shahrir Salim, 46, berkata beliau sudah melarang anaknya itu menggunakan motosikal, tetapi mangsa tetap mengambil kunci motosikal dan menolak kenderaan itu sebelum menuju ke jalan raya itu. 

Seorang saksi kejadian, Mohd Idris Daud, 17, berkata ketika berada di sebuah pusat cuci kereta berhampiran tempat kejadian, beliau terkejut mendengar bunyi motosikal terjatuh diikuti jeritan meminta tolong. 

“Semua mangsa tidak memakai topi keledar dan terjatuh hampir memasuki longkang,” katanya.

No comments:

Post a Comment