Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Polis selamatkan 2 GRO bawah umur


Sebahagian daripada GRO yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut, semalam.


PULAU PINANG 16 Sept. - Polis berjaya menyelamatkan dua gadis warga asing bawah umur yang terjebak dalam kegiatan tidak bermoral selepas menyerbu sebuah pusat karaoke di Jalan Tanjung Tokong di sini, malam tadi.
Kedua-dua gadis warganegara Vietnam berusia 16 dan 17 tahun itu yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) diselamatkan dalam serbuan sepasukan anggota dan pegawai Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7).
Pegawai Unit Anti Pemerdagangan Orang, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Supritendan Nordin Ibrahim yang mengetuai serbuan itu berkata, kedua-duanya akan dihantar ke rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di ibu negara.
"Pengusaha premis hiburan ini dan mereka yang terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia.
"Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi di sini, malam tadi.
Operasi yang disertai kira-kira 30 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu bermula pukul 8 malam dan berakhir kira-kira lima jam kemudian.
Turut ditahan, seramai 48 GRO warga asing iaitu 29 orang dari China, Vietnam (19 orang) dan seorang wanita warga China dipercayai ibu ayam.
Kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Selain itu, lima pekerja dan enam pelanggan berusia antara 20 hingga 30 tahun turut ditahan untuk diambil keterangan.
"Kita juga menahan seorang pengunjung pusat hiburan itu iaitu wanita warga Brunei untuk siasatan lanjut kerana tidak membawa pasport selain merampas set karaoke," ujarnya.
Beliau menambah, lesen premis hiburan itu juga didapati telah tamat tempoh sejak 8 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment