Search This Blog

Thursday, September 30, 2010

Polis nafi lengah siasatan

KUALA LUMPUR: Tuduhan liar mengatakan polis lembap mengambil tindakan berhubung kehilangan hartawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dikaitkan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dianggap keterlaluan berikutan polis melakukan sedaya sejak mangsa dilaporkan hilang awal tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail berkata, polis sudah mengambil tindakan wajar dengan melakukan siasatan berhubung laporan diterima sebelum ini, sekaligus menafikan dakwaan adik hartawan terbabit, Dr A Kasi Viswanathan, 32, yang datang ke Malaysia, Isnin lalu.
Menurutnya, polis mengesahkan ada menerima laporan dibuat saudara terdekat Allal di Balai Polis Klang, pada 29 Mac lalu.

“Bagaimanapun, keluarga mangsa yang membayar wang seperti diminta mula berasa sesuatu tidak kena apabila hartawan India terbabit masih tidak dibebaskan. Ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis selepas percaya ditipu individu tertentu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini semalam.

Beliau berkata, polis mulanya menyiasat kes terbabit mengikut kes tipu. Tindakan itu diambil berdasarkan kandungan laporan polis yang dibuat pengadu.

“Selain menyiasat kes penipuan itu, polis menyiasat kes kehilangan mangsa.

“Apa yang jelas, pegawai penyiasat melakukan usaha bagi mengesan Allal, namun mangsa tidak dapat dikesan pada waktu itu,” katanya.

Bagaimanapun, keluarga mangsa sekali lagi membuat laporan polis pada 2 September lalu, selepas polis mendedahkan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. “Hanya selepas itu barulah polis menyiasat kes terbabit dengan lebih mendalam dan mengaitkannya dengan kes Datuk Sosilawati yang hilang dan mati dibunuh.

“Saya harap, keluarga Allal membenarkan polis menjalankan siasatan berhubung kes terbabit. Mereka diharap tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan polis terutama kepada pihak yang tidak ada kaitan dengan kes ini,” katanya.

Hussin berkata, dia melantik pegawai perhubungan khas bagi dijadikan penghubung antara keluarga mangsa dengan polis, selain memberikan maklumat terkini berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan “Setakat ini, seramai 10 suspek ditahan reman berhubung kes berkenaan dan tempoh tahanan reman ke atas semua suspek disambung mengikut keperluan,” katanya.

Ketika diminta mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan Sosilawati yang tamat esok, Hussin berkata, polis belum membuat sebarang keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima suspek terbabit.
“Saya minta kerjasama semua pihak menyerahkan siasatan kepada kami,” katanya. Isnin lalu, adik ahli perniagaan India terbabit, Kasi Viswanathan mengemukakan aduan rasmi kepada Kerajaan Malaysia terhadap cara kes terbabit dikendalikan dengan mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan siasatan kes itu.

No comments:

Post a Comment