Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Polis minta kerjasama klinik, hospital


Abdullah Arshad menunjukkan gambar seorang bayi lelaki yang masih hidup dijumpai di bawah jambatan menghala ke Hot Spring Sungai Klah di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, semalam.


TAPAH 16 Sept. - Semua klinik dan hospital di daerah ini diminta menghubungi polis jika didatangi wanita yang baru melahirkan anak bagi mendapatkan rawatan dan dalam keadaan meragukan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, maklumat itu perlu bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang anak ekoran penemuan seorang bayi lelaki, semalam.
Bayi lelaki yang dipercayai Melayu dan masih bertali pusat itu ditemui di bawah jambatan di Sungai Liar, kira-kira 600 meter dari Resident Hotel Felda Hot Spring Sungai Klah, Sungkai, dekat sini.
"Polis menubuhkan sebuah pasukan petugas khas dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terbabit dalam jenayah sosial membuang bayi yang tidak berdosa ini.
"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Semalam, seorang wanita menemui seorang bayi lelaki ditinggalkan di bawah jambatan di Sungai Liar, kira-kira 600 meter dari Resident Hotel Felda Hot Spring Sungai Klah, Sungkai.
Bayi itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut.
Abdullah berkata, siasatan polis mendapati, bayi seberat 1.9 kilogram itu baru dilahirkan antara satu hingga dua hari lalu.
"Ketika ditemui, bayi ini mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri, jari tangan kiri dan hidung bercalar dipercayai akibat digigit semut.
"Bagaimanapun bayi terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan sihat," katanya.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang bayi malang itu supaya tampil menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tapah, Asisten Supritendan Md. Nasri Fadzir di talian 05-4011222 atau melaporkannya segera ke mana-mana balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment