Search This Blog

Saturday, September 25, 2010

Polis kesan pistol dirampas Kastam



PULAU PINANG 24 Sept. - Polis sedang mengesan pistol-pistol yang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di sebuah pondok dijadikan makmal memproses dadah di atas bukit di kebun durian di Teluk Bahang di sini, kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis juga akan menjalankan siasatan merangkumi pelbagai aspek termasuk sama ada ia pernah digunakan dalam mana-mana kes berprofil tinggi di negeri ini.
"Kita akan siasat bagaimana senjata-senjata itu dibawa masuk ke negeri ini, adakah ia pernah digunakan di sini dan punca sebenar penemuannya bersama pelbagai jenis dadah di dusun itu.
"Polis juga akan menjalankan ujian balistik ke atas senjata yang ditemui. Buat masa ini tiada tangkapan lagi dibuat," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes tersebut di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, JKDM menyerbu sebuah pondok dipercayai digunakan sebagai tempat memproses 15.3 kilogram heroin, ketamin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM3 juta sejak beberapa bulan lalu.
Ia yang terletak di kawasan terpencil dan hanya boleh dilalui oleh motosikal atau pejalan kaki, turut disyaki menggunakan pelbagai taktik pengedaran termasuk memasukkan dadah ke dalam komputer riba lama sebelum diseludup ke luar negara.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, JKDM turut menemui enam pistol yang sebahagian besar komponennya dileraikan, senapang patah, pistol mainan dan 100 butir peluru serta pelbagai peralatan memproses dadah.
Dua lelaki berusia 40-an yang dipercayai anggota sindiket itu berjaya ditahan dalam serbuan membabitkan 50 anggota dan pegawai daripada JKDM serta polis selepas membuat risikan dijalankan di kawasan itu sejak 4 September lalu.

No comments:

Post a Comment