Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Peniaga maut ditembak 11 das





IPOH 6 Sept. - Seorang peniaga maut selepas ditembak dengan kejam sebanyak 11 das dari jarak dekat oleh seorang lelaki ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya di Taman Mewah, Batu Gajah dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.15 pagi itu, K. Vijayan , 30, dari Kampung Ara Payung, Batu Gajah, mati akibat terkena tembakan yang mengenai rusuk hingga lehernya.
Hasil maklumat, polis telah bertindak pantas dan menahan tujuh lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun bagi membantu siasatan, kira-kira sejam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, siasatan mendapati suspek datang ke lokasi kejadian dengan menaiki motosikal bersama rakannya.
Menurutnya, kedua-duanya yang memakai topi keledar kemudian berhenti lalu salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah mangsa.
"Suspek melepaskan 12 das tembakan dengan 11 daripadanya mengenai mangsa manakala satu lagi tersasar.
"Mangsa yang cedera parah terkena tembakan di bahagian rusuk sehingga ke leher mati di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Menurut Najib, hasil siasatan menemui satu kelongsong peluru pistol bersaiz 9 milimeter (mm) di lokasi kejadian.
Beliau percaya motif kejadian adalah disebabkan dendam dan kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment