Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Pencuri 4,800 biji telur dicekup


MUAR - Biasanya penyamun menyasarkan wang atau barang berharga tetapi dua lelaki yang ditahan semalam memilih untuk melarikan 4,800 biji telur ayam dari sebuah kilang di Sengkang di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, dua suspek yang masing-masing berusia 30 dan 36 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah lori muatan tiga tan di Jalan Sengkang-Pagoh di sini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kenderaan suspek itu ditahan oleh anggota peronda dari Balai Polis Pagoh.
"Semasa pemeriksaan, terdapat 4,800 biji telur ayam di dalam lori itu dan setelah disoal siasat, telur-telur itu didapati dicuri dari sebuah kilang di Sengkang.
"Pemilik kilang itu sendiri pun tidak sedar yang telurnya hilang dan dia hanya mengetahuinya selepas diberitahu polis," katanya pada sidang akhbar pada Kempen Rumah Selamat sempena musim perayaan Aidilfitri di sini semalam.
Menurut Mohamad Nasir, lori yang dibawa suspek itu ditahan pada lokasi yang terletak kira-kira 500 meter dari kilang tersebut.
"Kedua-dua suspek bukan pekerja kilang itu namun kami percaya terdapat dalang dalam kilang berkenaan sehingga membolehkan telur-telur itu dicuri.
"Siasatan lanjut dalam kes akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment