Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Pembunuhan kejam Sosilawati: Kes boleh dibukti tanpa mayat





2010/09/17

KUALA LUMPUR: Profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan keterangan mengikut keadaan boleh menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, walaupun mayat mangsa pembunuhan tidak ditemui untuk dijadikan sebagai bahan bukti dalam pendakwaan. 

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, berkata pendakwaan boleh dilakukan berdasarkan bahan bukti memadai dan keterangan dikumpul polis atau pihak pendakwa mewujudkan prima facie dalam kes jenayah termasuk bunuh.“Tidak semestinya apabila mayat kes bunuh tidak ditemui seperti dibakar, suspek tidak boleh didakwa kerana ada beberapa kes sebelum ini yang mana suspek didakwa di mahkamah dan dijatuhi dihukum mati,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, polis menganggap kes pembunuhan Sosilawati, 47; dan pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, selesai. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dipetik berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap sembilan suspek yang ditahan setakat ini. 

Kuthubul Zaman berkata, antara keterangan mengikut keadaan yang boleh dijadikan bahan bukti dalam pendakwaan di mahkamah ialah senjata diguna untuk membunuh, pengecaman waris terhadap mangsa atau barang milik mangsa termasuk profil DNA mangsa. 

“Apa yang penting, pihak pendakwa perlu mempersiapkan segala bahan bukti diperoleh menerusi siasatan mereka untuk dikemukakan di mahkamah bagi dijadikan inti pati pertuduhan dan berupaya mewujudkan prima facie. 
“Jika tidak wujud prima facie, suspek akan dilepas dan dibebaskan tetapi jika wujud prima facie, suspek dalam pembelaannya perlu mengemukakan bukti yang menimbulkan keraguan munasabah terhadap dakwaannya,” katanya. 

Presiden Majlis Peguam Malaysia, K Ragunath berkata, turut mengesahkan bahawa keterangan mengikut keadaan, cebisan mayat mangsa dan DNA boleh dijadikan bahan bukti dalam menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan. 

“Apa-apa yang dijumpai dan boleh dijadikan bahan bukti atau keterangan mengikut keadaan, boleh digunakan untuk mendakwa suspek di mahkamah. Kita ada kaedah dan peraturannya,” katanya. t 

No comments:

Post a Comment