Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Pemandu lori dibelasah jiran tunang


KUALA TERENGGANU 16 Sept. - Tindakan seorang pemandu lori yang bertandang ke rumah tunangnya semalam mengundang padah apabila dia cedera dibelasah jiran wanita itu dalam kejadian berhampiran Flat Desa Keluarga dekat Cendering.
Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia 36 tahun mengalami kecederaan di lengan kiri, belakang leher, lutut kiri selain luka pada jari telunjuk kanan.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi berhampiran rumah sewa wanita yang merupakan seorang janda beranak dua di flat berkenaan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, pada mulanya, mangsa dari Taman Seri Desa Cendering bersama rakannya, seorang kelindan pergi ke rumah tunangnya dengan menaiki sebuah lori untuk mengambil beg miliknya.
Katanya, selepas mengambil barang tersebut, mangsa turun dari rumah tunangnya lalu masuk ke dalam lori untuk beredar.
"Sebelum sempat beredar dari situ, mangsa ternampak seorang lelaki sedang mengetuk pintu depan rumah sewa tunang mangsa sebelum mangsa berpatah balik semula ke tempat kejadian.
"Sebaik sahaja melihat kehadiran mangsa, suspek memanggil mangsa naik namun setelah mangsa enggan berbuat demikian, suspek turun ke arah mangsa dengan membawa sebatang kayu lalu memukul mangsa di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Manoharan berkata, sewaktu mangsa dipukul, dua anak lelaki suspek segera keluar dari rumahnya untuk menghalang tindakan bapa mereka yang berumur 57 tahun daripada terus mencederakan mangsa.
Beliau memberitahu, berikutan kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Cendering dekat sini semalam.
Menurutnya, polis telah menahan suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

No comments:

Post a Comment