Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Pelajar sambut Aidilfitri di rumah nenek dihanyut arus

PEKAN: Kegembiraan seorang pelajar kolej swasta menyambut Aidilfitri di rumah neneknya di Kampung Serambi, di sini, berakhir tragedi apabila dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Pahang berhampiran kampung berkenaan, kelmarin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, mangsa, Hasif Hariri, 20, dari Gombak, Selangor, pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) di Kuantan dilaporkan hilang di sungai berkenaan kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, mangsa dipercayai pergi ke sebuah sangkar ikan di sungai berkenaan untuk menyiang ikan sebagai persediaan kenduri bersama empat rakannya.

“Selesai menyiang ikan, mangsa bersama rakannya itu turun ke sungai untuk mandi dan membersihkan diri. Bagaimanapun, tiga rakan mangsa naik semula ke darat dan meninggalkan mangsa bersama seorang lagi rakan.

“Mangsa dikatakan turut mahu naik dengan berpaut pada rakannya, namun rakan itu dikatakan tergelincir menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh ke dalam sungai sebelum mangsa terus tenggelam dan dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan setengah jam selepas mangsa dilaporkan hilang dan dihentikan jam 7 malam akibat cuaca gelap.

“Operasi mencari dan menyelamat disambung semula kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) membabitkan 110 anggota penyelamat pelbagai agensi termasuk penduduk kampung dengan bantuan 28 bot, namun hingga jam 5 petang, mangsa masih belum ditemui,” katanya.

No comments:

Post a Comment