Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Pelajar kolej dituduh edar pil kuda 379.59 gram


KUALA TERENGGANU 23 Sept. - Seorang pelajar kolej di Kemaman berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar pil kuda seberat 379.59 gram, minggu lalu.
Syamil Taufik @ Zainal Arifin, 19, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine itu di rumah bernombor 713, Lorong Setia 8, Taman Setia, Durian Burung di sini pada pukul 8.10 pagi, 17 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh oleh Majistret Siti Faraziana Zainuddin.
Mahkamah menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam bela.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Mohammad.
Akhbar sebelum ini menyiarkan kejayaan polis melumpuhkan kegiatan pengedaran pil kuda terbesar di daerah ini dengan penangkapan sepasang kekasih berusia 19 tahun dalam satu serbuan di rumah tersebut.
Seorang lagi lelaki yang merupakan abang tertuduh berusia 23 tahun turut ditahan dan polis merampas 4,000 pil kuda bernilai kira-kira RM100,000 dalam serbuan tersebut.
Pada prosiding hari ini, abang dan teman wanita tertuduh tidak didakwa di mahkamah.

No comments:

Post a Comment