Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Pelajar asing di Kuala Lumpur ditahan di Changlun miliki ganja

JITRA: Polis menahan seorang pelajar asing dari sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur bersama seorang rakannya kerana memiliki ganja di stesen bas Changlun dekat sini, semalam.
Pelajar berkenaan yang berumur 33 tahun berasal dari Nigeria, sementara rakannya dari Guinea berumur 28 tahun.Dadah yang mereka miliki adalah 12 ketul mampat daun ganja kering seberat 11,650 gram dan bernilai kira-kira RM33,000 yang diletakkan di dalam beg pakaian yang mereka bawa.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan, ganja itu di percayai dibawa masuk dari Thailand dan mahu diedarkan di Kuala Lumpur.
"Pelajar Nigeria itu menggunakan visa pelajar untuk tinggal di negara ini, manakala suspek kedua tidak mempunyai pekerjaan.
Suspek yang menuntut di kolej swasta itu masuk ke negara ini secara sah pada Julai lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Syed Ismail berkata, penahanan kedua-duanya kira-kira 2.30 petang hasil dari maklumat orang awam, dilakukan oleh sepasukan anggota polis yang diketuai Insp Che Sham Rus dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
"Dua warga asing terbabit yang membawa sebuah beg pakaian ditahan ketika mereka sedang menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur.
"Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat 12 ketulan mampat daun kering jenis ganja di dalam beg tersebut dan dibalut dengan plastik aluminium bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa semasa melalui mesin pengimbas di pintu sempadan negara ini," katanya.
Mengenai Ops Sikap ke-22 di Kedah, Syed Ismail berkata, statistik dari 3 September hingga semalam menunjukkan 761 kes kemalangan dilaporkan dengan 14 kemalangan maut yang mengakibatkan 15 kematian.

"Penunggang motosikal mencatatkan angka kematian yang amat tinggi dengan 12 kematian manakala tiga lagi kematian adalah pejalan kaki.
"Jalan Persekutuan mencatatkan kemalangan yang tertinggi iaitu sebanyak 273 kes kemalangan, Jalan Negeri (260 kes), Jalan Bandaran (122 kes), Lebuh raya (49 kes) dan jalan-jalan lain (57 kes)," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment