Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Miliki dadah: Penganggur dipenjara 15 tahun dengan 13 sebatan

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihukum penjara berjumlah 15 tahun dengan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan memiliki dadah tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman M Gunalan memerintahkan Tan Kim Hock, 47, menjalani kesemua hukuman secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Julai 2007.
Tan yang berasal dari Perlis, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di rumah bernombor 32, Jalan Kelabu 3, Taman Pelangi di sini, pada 6.20 petang, 31 Julai 2007, mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia mengaku memiliki 405.12 gram ketamin, 106.43 gram methylenedioxyamphetamine (MDA), 20.21 gram methamphetamine dan 0.19 gram nimetazepam.

Bagi kesalahan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun, bagi kesalahan kedua lapan tahun dengan 10 sebatan, tiga tahun dengan tiga sebatan bagi pertuduhan ketiga dan dua tahun bagi pertuduhan keempat.

Sebelum ini, Tan didakwa mengedar MDA mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia juga tidak mengaku bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan memiliki ketamin, methamphetamine dan nimetazepam berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini selepas pendakwaan meminda pertuduhan mengedar MDA kepada memiliki dadah berkenaan.

Tan diwakili peguam Amy Law, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason.-Bernama

No comments:

Post a Comment