Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Mentua berdarah dibelasah menantu

AMPANG: Menantu setan! Itu gelaran layak buat seorang lelaki yang membelasah ibu mentuanya selepas berang kerana dianggap campur tangan dalam hal ehwal rumah tangganya di Taman Cahaya, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an ditumbuk di muka hingga hidungnya berdarah, selain ditendang di perut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut memecahkan cermin teksi milik ibu mentuanya selepas wanita berkenaan memberitahu mahu membuat laporan polis.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila seorang jiran menghubungi mangsa mengatakan anak perempuannya dipukul menantunya, menyebabkan wanita itu bergegas ke rumah pasangan berkenaan.

“Jiran itu menghubungi mangsa dan memaklumkan anaknya sudah tiga hari dipukul menantunya. Sejurus mengetahui hal itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi, bergegas ke rumah anak dan menantunya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, sejurus tiba, mangsa bertanyakan kepada menantunya mengapa dia sanggup berbuat demikian kepada isterinya.
“Mendengarkan soalan itu, menantunya secara tiba-tiba naik angin dan terus menendang perut ibu mentuanya tanpa belas kasihan.

“Bagaikan dirasuk, dia kemudian mengamuk dan memecahkan semua barang dalam rumahnya hinggakan mangsa turut terkena serpihan barangan yang pecah itu, selain ditumbuk hingga hidungnya berdarah,” katanya.
Menurutnya, melihat menantunya semakin menggila mangsa cuba melarikan diri dan memberitahu akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Berikutan itu, menantunya mengekori mangsa sebelum menghayunkan topi keledar ke cermin teksi mangsa. Lelaki terbabit kemudian terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersama anak perempuannya,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan polis pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak memukul isterinya kerana dia gagal mendapatkan wang berjumlah kira-kira RM10,000 yang dikatakan untuk menjamin seorang saudaranya yang ditahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment