Search This Blog

Friday, September 10, 2010

Maut rempuh lori

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang berlumba kereta dengan beberapa lagi rakannya maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), pagi semalam.


REMUK...kereta mangsa yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta mangsa yang terbabit kemalangan, semalam.

Lebih mengerikan apabila mayat lelaki itu ditemui dengan kepala pecah dan leher hampir putus.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu kereta terbabit, Poon Soon Wei, 22 dari Saujana Akasia, Sungai Buloh, maut di tempat kejadian.

Menurut jurucakap polis, mangsa berlumba dengan beberapa kenderaan lain dan gagal mengelak sebuah lori satu tan yang berada di lorong tengah.

“Kejadian berlaku apabila Proton Saga BLM yang dipandu mangsa menghala Damansara merempuh belakang sebelah kiri lori dengan muatan sampah yang bergerak perlahan di lorong tengah lebuh raya itu menyebabkan kereta itu berpusing.

“Mangsa yang memandu laju gagal mengelak sebuah lori menyebabkan ia merempuh sebelah kiri lori dan kesan rempuhan yang kuat menyebabkan bumbung kereta serta sisi lori tercabut. Akibatnya, pemandu kereta itu parah di muka dengan kepala hampir putus,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu lori, Mohd Zin Ahmad, 42, tidak cedera.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat dari kenderaan yang remuk.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment