Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Mangsa terkejut, menjerit



SEREMBAN - Sekumpulan lima penjenayah bertindak kejam menetak kepala seorang kanak-kanak dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Ujong, dekat sini, jam 4.30 pagi semalam. 

Berikutan kejadian itu, mangsa yang berumur 11 tahun mengalami pendarahan dalaman dan koma menyebabkannya terpaksa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar dekat sini untuk dirawat. 

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa ditemani ibunya berumur 46 tahun dan abangnya berumur 15 tahun. 

"Lima penjenayah terbabit dipercayai warga asing, memakai topeng dan bersenjatakan parang memecah masuk rumah teres dua tingkat didiami keluarga mangsa melalui pintu belakang. 

"Kemudian, mereka naik ke tingkat atas rumah dan mengejutkan mangsa, ibu dan abangnya daripada tidur,” katanya. 

Bagaimanapun menurutnya, kanak-kanak berkenaan tiba-tiba menjerit kerana terkejut dengan kemunculan penjenayah terbabit. 

"Salah seorang penjenayah naik berang dan menetak kepala mangsa dengan sebilah parang. 

"Ibu mangsa menjerit untuk meminta pertolongan tetapi seorang lagi penjenayah menutup mulutnya dengan tangan," katanya. 

Sementara itu, menurutnya, seorang penjenayah lain meletakkan parang pada bahagian leher abang mangsa sambil mengugut akan mencederakan remaja itu jika ibunya enggan diam. 

"Lima penjenayah terbabit mengikat kaki dan tangan serta menutup mulut dua mangsa berkenaan sebelum menyelongkar rumah. 

"Semua penjenayah melarikan diri kira-kira setengah jam kemudian dipercayai membawa bersama barangan berharga,” katanya. 

Menurutnya, siasatan awal polis di tempat kejadian menemui dua bilah parang di tingkat atas rumah dan tiga bilah parang di sekitar lokasi kejadian. 

"Polis juga menemui satu sarung tangan dengan kesan darah padanya, dan sehelai kemeja-T berwarna hijau dipercayai digunakan untuk menutup muka. 

"Kami masih mengenal pasti barangan dilarikan suspek dan jumlah kerugian belum dapat dianggarkan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis giat melancarkan gerakan memburu lima penjenayah terbabit. 

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya. 

Dalam pada itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Toh, 46, berkata, anaknya dijadualkan menjalani pembedahan, semalam. 

"Saya tiada di rumah ketika kejadian kerana menguruskan perniagaan di Rembau,” katanya.

No comments:

Post a Comment