Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Mahkamah Afrika tangguh kes Nur Dhiya

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Belleville, Afrika Selatan menangguhkan sebutan kes seorang gadis negara ini, Nur Dhiya Ain Rosman yang sepatutnya berlangsung semalam berhubung kes penahanannya atas kesalahan menyeludup dadah di Lapangan Terbang Cape Town pada 14 Ogos lalu kepada satu tarikh baru yang akan diberitahu kelak.
Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata beliau difahamkan penangguhan sebutan kes berusia 19 tahun itu disebabkan kekurangan satu laporan daripada Jabatan Kimia di sana berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, mengikut prosedur biasa, gadis terbabit akan dibawa semula ke pusat tahanan Ravensmead sementara menunggu panggilan baru dari mahkamah berkenaan.

“Sepatutnya sebutan kes Nur Dhiya berlangsung hari ini (semalam). Bagaimanapun, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pretoria memaklumkan ia ditangguhkan sementara waktu.

“Saya difahamkan penangguhan itu kerana kekurangan satu prosedur. Biasanya kes dadah akan membabitkan ujian makmal, tetapi hanya tinggal satu laporan yang masih diperlukan mahkamah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pihaknya melantik peguam, Stevie Dreyer bagi memastikan pembelaan gadis itu di mahkamah dibantu daripada segenap sudut dengan adil, lebih-lebih lagi dalam konteks komunikasi.

Menurutnya, gadis terbabit tidak fasih berbahasa Inggeris, sekali gus menyukarkannya membela diri jika tidak dibantu peguam berkaliber.

Akhbar pada 13 Ogos lalu melaporkan Nur Dhiya kali terakhir menghubungi ibunya, Roslah Abdul Jani, 43, kira-kira jam 1 pagi, 9 Ogos lalu dalam keadaan tergesa-gesa dan memberitahu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Capetown.

No comments:

Post a Comment