Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Lima pelajar IPTS ditahan bersama heroin RM112,000



SHAH ALAM 6 Sept. - Lima pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk seorang wanita diberkas bersama 89 bungkusan plastik mengandungi 1.39 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM112,000 dalam serbuan di sebuah apartmen di USJ1, Subang Jaya, Khamis lalu.
Semua yang ditahan berusia antara 19 dan 33 tahun dan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan manakala selebihnya lelaki warga Nigeria.
Dalam serbuan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pukul 6 petang itu turut menahan seorang lagi wanita tempatan berusia 34 tahun, dipercayai rakan kepada kumpulan pelajar berkenaan.
Ketua JSJN Negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, sebelum serbuan di apartmen yang dijadikan asrama pelajar IPTS itu, pihaknya terlebih dahulu memberkas seorang pelajar Nigeria di luar kawasan kediaman tersebut.
Katanya, suspek kemudian membawa polis ke dalam apartmen itu dan lima lagi suspek ditahan bersama bungkusan heroin yang dibalut dengan pita pelekat biru.
"Hasil pemeriksaan setiap satu bungkusan seberat lebih 10 gram.
"Kami masih menyiasat sama ada kumpulan yang dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu itu merupakan pengedar atau apartmen mereka hanya dijadikan transit," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Nordin memberitahu, dua beradik warga Bulgaria dan seorang rakyat India berjaya ditahan kerana cuba menyeludup dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini Rabu lalu.
Menurut Nordin, pasangan adik- beradik yang menuntut di Turki itu baru tiba dari Doha dan ditahan selepas pihaknya menemui 4.6kg dadah jenis syabu bernilai RM1.1 juta di dalam bagasi mereka.
Katanya, kedua-dua ditahan semasa melalui pemeriksaan pada pukul 10.30 malam.
"Warga India berusia 25 tahun itu pula didapati baru sampai dari Chennai, India dan ditahan kira-kira pukul 10 pagi semasa pemeriksaan bagasi.
"Salah satu bagasi miliknya mengandungi 1.9kg dadah jenis ketamin bernilai RM57,000.
"Dadah dibungkus dengan kertas karbon itu ditemui di bahagian bawah beg yang dipenuhi dengan bungkusan makanan, berus pencuci dan periuk," ujarnya.
Katanya, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 9 September ini bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment