Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Lelaki nyaris maut elak langgar anjing

JASIN: Gara-gara mengelak seekor anjing, seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Jasin-Merlimau berhampiran Kampung Seri Mendapat, dekat sini, lelaki terbabit menanggung kesakitan apabila kaki kanannya tersepit selepas Proton Wira dipandunya remuk.
Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke arah Merlimau bersama seorang anak saudara perempuannya berusia 14 tahun.

Dua jentera Bomba dan Penyelamat masing-masing dari Jasin dan Merlimau dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

Ketua Polis daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, berdasarkan siasatan, ketika memandu melalui laluan menuruni bukit di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa melihat seekor anjing dan cuba mengelak melanggar haiwan berkenaan, namun kenderaannya hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu merempuh sebatang pokok.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan bahagian depan kenderaan berkenaan remuk menyebabkan kaki mangsa tersepit.

“Mangsa diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat sebelum dihantar ke hospital,” katanya, semalam.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment